Pusat Sains Angkasa UKM Anjur Program Eksplorasi Angkasa


Oleh Nadia Sapuan
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 8 Mei 2017 – Bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai bidang angkasa lepas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Sains Angkasa, UKM mengadakan sebuah program bicara umum yang bertemakan Space Exploration and Updates sempena International Conference on Space Science and Communication (ICONSPACE2017).

Program yang diadakan di Planetarium Negara, Kuala Lumpur tersebut menjemput seramai empat orang penceramah bagi berkongsi pengalaman mereka dalam bidang astronomi dan kajian angkasa, antaranya adalah saintis muda Malaysia, Nur Adlyka Ainur Annuar yang merupakan ketua penyelidik yang menemui kewujudan lohong hitam supermasif (Supermassive Blackholes) baru-baru ini.

Nur Adlyka berkata untuk mencari dan menemui lohong-lohong hitam tersebut, kumpulan penyelidik tersebut menggunakan Nuclear Spectroscopic Telescope Array (NuSTAR) yang merupakan teleskop sinaran X (X-ray) daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Beliau menambah NuSTAR dapat membantu memberikan imej lohong hitam dengan lebih jelas di samping mengesan lohong-lohong hitam serta menembusi imej gas dan habuk yang tebal.

“Salah satu daripada lohong hitam yang kami temui, terlindung daripada gas dan habuk tebal di salah satu galaksi yang berdekatan dengan bumi iaitu Galaksi NGC 1448 yang memiliki sebanyak 38 juta tahun cahaya dari galaksi kita dan ini merupakan jarak yang agak dekat disebabkan oleh saiz  alam semesta besar dan luas,” katanya.

Sementara itu, Professor Emeritus UKM, Prof Emerita Datuk Dr Mazlan Othman berkata dunia sekarang berada di zaman pembangunan yang maju dalam pelbagai teknologi serta berkemampuan untuk pergi ke angkasa lepas.

“Kini kita boleh melombong bahan-bahan asli di angkasa lepas seperti asteroid dan komet. Bukan itu sahaja, pada masa ini juga ramai yang telah membuka perniagaan yang berkaitan dengan angkasa lepas seperti membawa orang ramai pergi dan balik ke angkasa dan rancangan untuk membuka hotel di angkasa.

“Pada pendapat saya, kita perlu bertanya pada diri bagaimana untuk meletakkan diri kita dalam situasi ini dan bagaimana Malaysia dapat memberi sumbangan dalam pembangunan berkaitan dengan bidang ini?,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut memberi nasihat kepada pelajar yang hadir untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-cita dalam menjadi seorang astronomi kerana untuk menjadi seorang astronomi tidak memerlukan peralatan yang mahal sebaliknya dengan hanya menggunakan sebuah alat yang kecil dalam hidup mereka.

Turut hadir adalah Pengarah Pusat Sains Angkasa UKM, Prof Ir Dr Mardina Abdullah dan dua lagi penceramah Real Time Space Weather Expert, Dr Zahra Bouya dan Antartic Research Expert of UKM, Prof Madya Dr Wayan Suparta.