QS Asia University Rankings 2022 : UKM Kini 5 Peratus Terbaik Asia


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 3 November 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berada dalam kelompok 5 peratus universiti terbaik Asia apabila melonjak kedudukan ke-33 dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2022 (QS AUR 2022) yang diumumkan semalam.

Penilaian yang dibuat dalam 11 indikator itu menunjukkan UKM mencatatkan kedudukan ke-10 terbaik bagi kategori Student Faculty.

Penilaian QS AUR 2022 itu dinilai melalui 11 indikator iaitu Academic Reputation, Employer Reputation, Faculty Student, Staff with PhD, Citations per Paper, Papers per Faculty, International Research Network, International Faculty, International Students, Inbound Exchange dan Outbound Exchange.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata daripada 11 indikator yang dinilai itu, faculty student telah menunjukkan prestasi yang terbaik di mana ia berada di kedudukan ke-10 Asia, diikuti dengan Academic Reputation (32 terbaik Asia) dan Employer Reputation (35 terbaik Asia).

Beliau berkata sebagai universiti watan, UKM akan meningkatkan usaha dan kualiti seiringan dengan nilai TERAS yang menjadi naratif baharu UKM.

Katanya, beliau melihat peningkatan QS AUR 2022 ini sebagai pengiktirafan kepada universiti itu yang telah mencapai usia 51 tahun.

“Penghargaan juga diberikan kepada profesor, pensyarah, pengurusan, kakitangan dan pelajar atas usaha dan sumbangan mereka yang gigih ke arah kecemerlangan UKM,” katanya.

Berada dalam kalangan universiti terkemuka di dunia, UKM akan terus menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi dan mengukuhkan lagi peranan UKM dalam meneraju pendidikan tinggi negara serta menyumbang kepada seluruh masyarakat Malaysia.