QS World University Ranking: UKM Kedudukan ke-141 Terbaik Dunia


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto Izwan Azman

BANGI, 11 Jun 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus meningkat sebanyak 19 anak tangga daripada kedudukan ke-160 tahun lalu ke kedudukan ke-141 dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020/2021 (QS WUR) yang telah diumumkan pada 10 Jun 2020.

Penilaian QS WUR 2021 dinilai melalui enam indikator iaitu academic reputation, employer reputation, citation per faculty, faculty students, international faculty dan international students.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, daripada enam indikator yang dinilai itu, faculty student telah menunjukkan prestasi yang terbaik di mana ia berada di kedudukan ke-72 dunia.

 “Kami melihat ranking ini berdasarkan produk, di mana kita menjaga asas iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan antarabangsa terjaga, maka secara automatiknya ranking kita akan terus meningkat.

“Jika dilihat keseluruhan indikator, semuanya meningkat. Contohnya academic reputation pada tahun lalu UKM mencatatkan sebanyak 50.9 peratus (%) dan meningkat ke 53.8% tahun ini, employer reputation 44.7% ke 55.7%, international faculty 24% ke 31.2%, international students 38.9% ke 40.8%, kecuali citation menurun dari 13.1% ke 11.9%,” terangnya.

Beliau menjelaskan bahawa secara keseluruhannya, citation di UKM telah meningkat tetapi apabila ia bersaing dengan universiti lain, ia dinormalkan dengan nilai tertinggi.

“Jika lihat citation UKM pada tahun 2018, sebanyak 65,673 telah dicatatkan dan pada tahun 2019 pula, citation telah menunjukkan peningkatan secara drastik ke 95,000.

“Tetapi saingan dari universiti lain juga sangat sengit, menyebabkan peratusan citation kita (UKM) agak menurun sedikit,” jelas beliau.

Beliau berkata, UKM akan meningkatkan usaha dan kualiti seperti yang telah digariskan dalam pelan strategi UKM iaitu tiga asas penting dalam House of Quality (HoQ) iaitu penyelidikan, akademik dan antarabangsa.

“Ketiga-tiga ini (HoQ) akan dibaiki dan turut disokong oleh dua elemen lagi iaitu bakat dan kewangan,” jelasnya.

Katanya, beliau melihat kejayaan UKM ini sebagai hadiah kepada universiti itu yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50.

“Penghargaan juga diberikan kepada profesor, pensyarah, pengurusan, kakitangan dan pelajar atas usaha dan sumbangan mereka yang gigih ke arah kecemerlangan UKM,” ujar beliau lagi.

Berada dalam kalangan universiti terkemuka di dunia, UKM yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya pada 18 Mei 2020 akan terus menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi dan mengukuhkan lagi peranan UKM dalam meneraju pendidikan tinggi negara.