Restu Ibu Bapa Jadi Pendorong Kejayaan Penerima Anugerah Pelajaran Diraja


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 5 Disember 2021 – Restu ibu bapa menjadi pembakar semangat kepada Nurhaziqah Hishamudin, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-49.

Nurhaziqah berkata setiap apa yang dilakukannya, dia akan memohon restu daripada ibunya, Siti Hajar Salleh dan bapanya, Hishamudin Muhd Zain kerana restu itu adalah pendorong kekuatan kepada setiap tindakan yang bakal yang dilakukan.

“Selain itu, saya juga akan memulakan hari dengan membaca surah Yasin pada setiap pagi. Ini akan memberi energy yang berbeza sebelum saya pergi ke kelas dan memulakan aktiviti harian.

“Saya juga selalu meminta nasihat daripada para pensyarah supaya saya dapat ilmu pengetahuan yang luar biasa. Selama setahun setengah saya belajar secara fizikal, saya menyertai pelbagai program di peringkat fakulti, universiti dan antarabangsa. Jadi, saya perlu membahagikan masa secukupnya,” katanya.

Anak sulung daripada lima adik beradik itu turut aktif dengan sukan silat kerana baginya seni pertahanan diri itu dapat mengurangkan tekanan belajar.

Graduan program Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Isam itu berjaya mencapai Anugerah Dekan bagi enam semester berturut-turut sepanjang pengajian di UKM. Dia juga turut menerima Anugerah Bakti Terbilang Mobiliti Tidak Berkredit oleh Japan Muslim Foundation, Osaka Jepun dan Anugerah Tokoh Akademik.

“Kejayaan ini bukanlah kejayaan saya semata-mata tetapi ia adalah kejayaan keluarga saya, pensyarah-pensyarah, kawan-kawan dan semua yang membantu saya secara langsung dan tidak langsung,” katanya yang kini sedang berkhidmat sebagai tenaga pengajar kepada muallaf muslimah di Japan Da’wah Centre, Jepun secara dalam talian.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Kavena Sivapragasam sentiasa memegang pesanan ibu bapanya iaitu ‘anywhere you go, go make positive impact.’

Anak jati Negeri Sembilan itu berkata, kata-kata itu telah membuatkan dia bersungguh-sungguh dan sentiasa mempunyai perancangan masa terhadap setiap perkara yang dilakukan.

Menceritakan tiga tahun pengajiannya di UKM, Kavena yang merupakan graduan program Psikologi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemnusiaan telah membangunkan sebuah aplikasi yang diberi nama RESET atau Acknowledge-Reframe-Restructure-Respond yang berupaya mempengaruhi cara pemikiran pengguna dengan memfokuskan kepada penyelesaian dan bukan kepada permasalahan.

“Keberkesanan aplikasi ini terbukti melalui kajian yang saya buat terhadap pekerja swasta di Kuala Lumpur. Hasil kajian itu telah berjaya menyelamatkan tiga nyawa responded daripada percubaan untuk membunuh diri,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa sehingga kini lebih 20,000 pengguna daripada pelbagai negara telah menggunakan aplikasi itu.

Kavena yang mendapat Anugerah Dekan bagi setiap semester turut dinobatkan sebagai Ikon Mahasiswa Psikologi Kebangsaan 2021 dan Ikon Pelajar UKM 2020.

Beliau yang turut aktif dalam bidang kepimpinan dan sukan marathon itu telah berjaya memenangi Best Research Paper di The 1st International Conference on School Psychology di Colombia, Sri Lanka.