Saintis UKM Cipta Gel Mudah Telan Ubat


Oleh Nur Syafiqah Binti Mohamad Jafri & Kanaga Suntari Sundra Sakaran (Pelajar MENTION FSSK, UKM)
Foto Arkib Pensyarah

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang mengalami masalah untuk menelan ubat-ubatan yang berbentuk pil atau tablet. Kesukaran ini menyebabkan kita memerlukan masa dan usaha yang lebih untuk menelan dengan sempurna.

Keadaan ini dikenali sebagai disfagia iaitu satu keadaan yang membuatkan seseorang sukar untuk menelan makanan atau minuman dengan baik dan seringkali dihidapi oleh golongan kanak-kanak dan warga emas.

Masalah ini telah mendorong Prof. Madya Dr. Haliza Katas dari Fakulti Farmasi UKM dan rakan sepasukannya untuk menghasilkan satu formulasi bagi memudahkan golongan ini untuk menelan ubat-ubatan dengan lebih mudah dan selamat.

“Kaedah yang dihasilkan ini mungkin sedikit sebanyak membantu golongan yang mengalami masalah disfagia,” katanya.

Cetusan Idea

Menurut Prof. Madya Dr. Haliza, idea ini tercetus setelah melihat anaknya sukar untuk menelan ubat-ubatan berbentuk cecair disebabkan rasa ubat yang kurang enak. Bukan itu sahaja, ibu dan bapanya juga mengalami masalah yang sama iaitu sukar untuk menelan ubat-ubatan yang berbentuk tablet.

Ubat-ubatan yang berbentuk tablet menyukarkan mereka untuk menelan secara terus dan merasakan seperti tersekat di kerongkong. Melihat kesukaran yang berlaku, beliau bersemangat menghasilkan satu formulasi yang dapat membantu golongan sedemikian untuk menelan ubat-ubatan tanpa mengalami sebarang masalah.

“Kesukaran untuk menelan ubat-ubatan boleh menyebabkan ubat-ubatan tersebut atau cecair daripada mulut masuk ke dalam paru-paru. Sekiranya perkara tersebut berlaku, jangkitan pada paru-paru mungkin boleh terjadi,” katanya.

Formulasi Gel Mudahkan Ubat Ditelan

Formulasi gel ini merupakan suatu inisiatif yang membantu dalam mengurangkan kesukaran menelan ubat-ubatan dan menghilangkan rasa kurang enak ubat-ubatan yang dimakan. Formulasi ini dihasilkan dengan menggunakan gel yang berbentuk separa cecair dan juga separa gel. Hal ini disebabkan oleh sifat gel itu sendiri yang mudah untuk ditelan oleh golongan yang bermasalah.

“Gel ini dihasilkan daripada polimer yang boleh ditetapkan kepekatannya mengikut kesesuaian dengan tahap keterukan disfagia. Pemilihan gel polimer dalam penghasilan formulasi ini disebabkan oleh penggunaan gel ini secara meluas dalam sektor penghasilan makanan.

“Penggunaan gel ini tidak akan memberikan sebarang kesan sampingan kepada pengguna. Di samping itu, kos penggunaan gel dalam formulasi ini juga tidaklah terlalu mahal. Pengiraan kos yang dibuat menunjukkan gel yang digunakan dalam kajian ini menunjukkan jumlah kos yang efektif,” tambahnya.

Berkenaan dengan cara penggunaan formulasi ini sewaktu menelan ubat-ubatan beliau menjelaskan formulasi yang dihasilkan ini bukan sesuatu kaedah yang perlu dilakukan sendiri oleh pesakit, tetapi ubat-ubatan ini telah siap diformulasikan terus semasa proses penghasilannya.

“Ini adalah untuk memastikan dos ubat yang dimasukkan adalah tepat dan tidak akan mendatangkan kesan yang tidak diingini kepada pengguna. Ubat-ubatan yang dimasukkan ke dalam gel ini hanya mengikut dos yang bersesuaian serta tidak dijual secara berasingan di pasaran,” ujarnya.

Cabaran Hasil Gel

Beliau turut menyebut beberapa cabaran yang terpaksa diharungi dalam usaha menghasilkan formulasi ini.

“Kami terpaksa menangguhkan kajian yang dibuat disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Sepanjang tempoh tersebut, kami tidak dapat menggunakan makmal untuk melakukan pembangunan formulasi. Namun begitu, kami telah menggunakan masa ini untuk membuat kajian berkaitan kos dan persepsi serta keutamaan pengguna terhadap formulasi ini yang tidak melibatkan penggunaan makmal,” ujarnya.

Namun, cabaran terbesar ialah mempromosikan formulasi ini kepada syarikat farmaseutikal luar.

“Strategi yang akan digunakan untuk menarik minat syarikat luar untuk bekerjasama dalam kajian ini adalah dengan menunjukkan bukti keberkesanan formulasi yang telah dihasilkan,” tegasnya.