Sekolah Selamat Luas Maksudnya – Dekan FSK

01
Laporan dan foto: Abd Raai Osman

BANGI, 16 November 2015 – Konsep sekolah selamat tidak seharusnya terbatas kepada masalah disiplin seperti jenayah, ancaman kepada pelajar, membuli dan sikap samseng semata-mata.

Konsep sekolah selamat perlu meliputi aspek keselamatan dan kesihatan dalam aktiviti pembelajaran, kokurikulum, bangunan, peralatan dan kemudahan, kata Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Siti Zamratol-Mai Sarah Mukari

Sekolah merupakan tempat yang dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang selesa serta bebas dari persekitaran  yang berbahaya, kata Prof Siti Samratol-Mai, ketika berucap merasmikan kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah atau ‘OSH In Schools’ 2015 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato’ Harun Petaling Jaya, Selangor 15 September lalu.

“Pelajar perlu didedahkan dengan program keselamatan dan kesihatan untuk memberikan pendedahan yang baik kepada mereka berkaitan isu keselamatan dan kesihatan di sekolah” beliau menegaskan.

Katanya, ‘OSH In School’  bertujuan membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan dalam kalangan warga sekolah termasuk para guru, pelajar dan kakitangan sokongan di sekolah.

Menurut beliau, guru, kakitangan serta pelawat semasa berada di kawasan sekolah harus sedar pentingnya program ‘OSH In School’ bagi menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan pelajar.

selain dari itu, ia juga mempromosi  Fakulti Sains Kesihatan UKM.

Dalam pada itu, Dr Anuar Ithnin  yang memiliki kepakaran dalam Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Pengurusan Keselamatan Industri (OSH-IMS) selaku pengarah program  ‘OSH In School’ 2015 menerangkan program ini diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato’ Harun kerana tapak sekolah ini pernah menjadi kawasan pelupusan sampah.

Terdapat aduan mengenai gangguan busuk ketika hujan akibat endapan sampah sebelum ini, kata Dr Anuar.

Menurut beliau, kajian yang menggunakan geran komuniti UKM dibuat melibatkan kesan kepada pelajar dan masyarakat sekitar dan diterbitkan dalam dua jurnal.

Program seperti ini pernah diadakan di Sekolah Menengah Sultan Alauddin Riayat Shah 1 Pagoh, Muar Johor yang melibatkan pelajar bidang  kesihatan sekitaran di FSK.ukmnewsportal-bm
02

03

04