Senator Datuk Dr. Zulkifli Sampaikan Sumbangan Kepada Mahasiswa UKM


Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Oktober 2020 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan bagi membantu mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah hadir ke kampus bagi mengikuti pengajian semester 1 sesi 2020/2021.

Bantuan misi Musaadah Khas Siswa yang diberikan itu berupa wang berjumlah RM10,000 melalui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Datuk Dr. Zulkifli berkata, YADIM mengambil tindakan segera bagi membantu mahasiswa yang telah sampai ke kampus dengan memberi sumbangan kewangan kepada mereka.

“Insyalaah mudah-mudahan bantuan ini akan dapat meringankan sedikit beban pelajar kita. Kerajaan melalui agensi-agensi agama di bawah JPM komited untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa.

“Terima kasih kepada YADIM, MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang telah sama-sama menjayakan bantuan ini,” katanya.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut meluangkan masa menyantuni mahasiswa yang berada di Kolej Dato’ Onn. Selain UKM, Datuk Dr Zulkifli turut berkunjung ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dato’ Ir Dr Othman A Karim mengucapkan terima kasih kepada YADIM dan pihak-pihak luar yang sudi menghulur bantuan kepada universiti dalam menguruskan pelajar di kampus.

“Perancangan penangguhan kehadiran pelajar ke kampus ini dibuat saat akhir kerana kes peningkatan jangkitan semakin meningkat dan membimbangkan. Kita amat risau sekiranya berlaku penularan dalam kampus dan kita tidak mahu ada kluster kampus atau kluster pulang ke kampus direkodkan,” katanya.

Katanya, pihak universiti tidak memaksa pelajar yang telah hadir ke kampus pulang semula ke rumah, tetapi mereka diberi pilihan sama ada untuk terus kekal di kampus atau sebaliknya.

“Program orientasi yang kita jadualkan bermula hari ini tetap kita jalankan secara dalam talian. Begitu juga pengajaran dan pembelajaran yang akan bermula minggu hadapan turut akan dijalankan dalam talian seperti yang telah dijadualkan. Keadaan ini akan berlarutan sehingga virus COVID-19 reda dan kita mendapat signal daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) khususnya untuk memulakan kelas secara fizikal,” katanya.