Sentiasa Menulis Senarai Semak Harian Merupakan Rahsia Kejayaan Ayuna


Oleh Nur Batrisyia
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI,3 April 2021 – Dorongan daripada kedua ibu bapa, adik-beradik pensyarah, kawan-kawan dan orang sekeliling menjadi salah satu punca kejayaan buat graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Ayuna Yussoff yang menerima Anugerah Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-48.

Anak bongsu daripada lima beradik ini sentiasa memasang niat untuk melakukan yang terbaik dalam setia apa tindakan yang dilakukannya.

“Saya sentiasa ingat apa yang selalu kakak saya katakan kepada saya iaitu setiap pagi sebelum memulakan hari (kuliah) perlu niatkan kerana Allah SWT. Jadi apa sahaja yang kita lakuakn pada hari itu, tidak lari dari niat yang telah kita niatkan.

“Sebagai seorang pelajar, kita perlu sentiasa betulkan niat, hormat kepada ibu bapa, pensyarah, rakan-rakan dan jangan pernah kedekut untuk berkongsi ilmu dengan orang-orang sekeliling.

“Jangan letakkan figure sebagai satu pendorong untuk kita kehadapan. Sebaliknya letakkanlah keikhlasan untuk menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti,” kata Ayuna.

Sama seperti pelajar lain, untuk berjaya pasti ada rutin yang dilakukan.

Ayuna yang berasal dari Sarawak berkata, setiap hari dia akan sentiasa bangun awal pagi, sekitar jam dua atau tiga pagi untuk menulis satu senarai semak yang akan dilakukan pada hari tersebut selain menunaikan solat sunat.

“Bila kita belajar di universiti, sudah pasti kita bukan pelajar yang hanya menghadiri kuliah, tetapi secara tidak langsung kita juga akan terlibat dengan aktiviti kokurikulum.

“Itu akan membuatkan jadual aktiviti seharian saya padat. Jadi senarai semak itu perlu supaya saya tidak lari dari niat asal iaitu belajar kerana Allah SWT,” katanya.

Selain itu, katanya, penglibatannya dalam aktiviti kokurikulum membuatkan Ayuna menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan menghargai masa.

Kata Ayunya, kejayaannya bukanlah atas usahanya seorang, tetapi doa yang tidak putus dari ibu bapa adalah pendorong kejayaan itu.

“Tanpa doa mereka, saya tidak akan berada di tahap ini.

“Terima kasih kepada ibu bapa, ahli keluarga, para pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa mendorong, mendoa dan memberi kata-kata semangat kepada saya sepanjang saya di UKM. Tanpa mereka, sudah pasti sukar untuk saya melakar kejayaan ini,” katanya.