Seruan Supaya Ahli Akademik Dan Penyelidik Sumbang Kepakaran, Kerja Amal

Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Ikhwan Hashim

Call To Academics And Researchers To Do More Community Service1BANGI, 24 Mac 2015 – Akademik dan penyelidik harus menyumbang kepakaran mereka melalui penyelidikan dan kerja-kerja amal bagi menjamin kelangsungan hidup generasi masa depan.

Timbalan Ketua Setiausaha II  Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Abdul Rahim Hj Nik berkata pengurusan dalam kelestarian alam sekitar di Malaysia  dilaksanakan  dalam konteks pembangunan lestari yang berasaskan  pembangunan  ekonomi, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Berucap di Majlis perasmian bengkel bertajuk ‘Memahami dan Membalas kepada Perubahan Iklim untuk Penggubal Dasar’   (Understanding and Responding to the Climate Change for Policy Makers) di sini hari ini, Dr Rahim berkata hal ini sangat sesuai dengan Dasar Alam Sekitar Negara bagi meneruskan kemajuan ekonomi sosial budaya serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia menerusi kesejahteraan  alam sekitar dan pembangunan lestari .

Turut hadir Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah pemegang Kursi Perubahan Iklim (UKM-YSD) sekali gus Pengarah Institut Perubahan Iklim (IPI) dan ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Sime Darby (YSD) Hjh Yatela Zainal Abidin.

Prof Mastura berkata aktiviti sukarelawan dan penglibatan para akademik dalam aktiviti demikian adalah suatu cabaran kerana teras utama sebuah universiti adalah penyelidikan dan pemindahan ilmu.

Dengan itu para akademik perlu memberikan pemahaman kepada masyarakat akan pentingnya menjaga alam sekitar melalui kerja-kerja amal.

Yatela pula, apabila merasmikan bengkel tersebut, berkata kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan serta masyarakat harus ada tujuan yang sama iaitu menyumbangkan pemikiran dan tenaga untuk menjaga kelestarian alam sekitar.

Kata Yatela, bengkel ini sangat bersesuaian dengan objektif yang dirancangkan YSD, iaitu menjaga kelestarian haiwan dan alam sekitar, seperti melindungi hidupan liar dan memelihara perkebunan kelapa sawit.

Program di bawah anjuran Kursi Perubahan Iklim (UKM-YSD) dan Institut Perubahan Iklim (IPI) bekerjasama dengan Institut Alam Sekitar (EiMAS), Jabatan Alam Sekitar Malaysia.

Bengkel ini berlangsung selama tiga hari, yang mana 9 penceramah dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing membincangkan isu-isu berkenaan alam sekitar dan cara memeliharanya.ukmnewsportal-bm