Sistem Pengering Suria Rumah Hijau Tingkatkan Kualiti Produk Pertanian


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

TANJUNG MALIM, 23 Mei 2019 – Dalam memastikan proses pengeringan makanan atau tumbuhan lebih bersih dan selamat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghasilkan sistem pengering suria rumah hijau yang mesra alam di beberapa negeri di Malaysia.

Penghasilan sistem itu dibuat selepas mendapati pengeringan produk pertanian termasuklah makanan laut mengikut kaedah tradisional secara terbuka di bawah sinaran matahari boleh menjejaskan kualiti dan kebersihan produk disebabkan oleh pencemaran udara.

Sistem pengering suria mempunyai beberapa kelebihan antaranya proses pengeringan boleh dikawal, dapat mengelakkan ancaman serangga dan binatang, lebih bersih dan dapat menjamin mutu hasil komoditi serta mempercekapkan proses pengeringan.

Felo Penyelidik Utama, Institut Penyelidikan tenaga Suria (SERI) UKM, Prof Dr Mohd Hafidz Ruslan berkata, sistem pengering suria adalah tenaga yang diperbaharui iaitu tenaga yang diperoleh daripada tenaga matahari, angin, ombak dan geoterma.

“Di UKM, kami sentiasa terbuka untuk mebawa produk penyelidikan kami kepada komuniti. Contohnya sistem pengering suria rumah hijau seperti yang ada di Taman Kebun Bandar di sini yang menghubungkan UKM bersama masyarakat dengan komuniti,” katanya pada Program Hari Bumi 2019, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, UKM telah melakukan proses percubaan sistem pengeringan suria di beberapa kawasan iaitu di Chuping, Perlis; Taiping, Bidor dan Tanjung Malin di Perak; Semporna, Sabah dan Pontian, Johor.

“Sistem pengeringan itu mampu menghasilkan suhu antara 40 hingga 60 darjah Celcius yang sesuai untuk pengeringan produk pertanian terutamanya herba yang hanya mengambil masa dua hingga tiga hari untuk melalui proses pengeringan.

“Antara bahan pertanian yang dikeringkan di kawasan-kawasan tersebut ialah kenaf, makanan laut termasuklah rumpai laut, herba perubatan, asam gelugor dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, penggunaan teknologi fotovoltan untuk menjana kipas dan tenaga bateri serta pengumpulan suria untuk menghasilkan udara panas dapat memberi kesedaran tentang penjimatan tenaga untuk mengurangkan kesan pencemaran demi kesejahteraan generasi msyarakat akan datang.

Prof Dr Mohd Hafidz berkata, pihaknya juga merancang untuk mengkomersialkan sistem pengeringan itu khusus untuk pihak yang terbabit dalam industri makanan atau pertanian.

Satu unit sistem itu membabitkan kos kira-kira RM20,000, kata beliau.