SKG Group of Companies Taja RM774,000 Biasiswa kepada 29 Pelajar UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 25 April 2018 – SKG Group of Companies menerusi Biasiswa Dr. Lee Siew Keong telah memberi tajaan sebanyak RM774,000 kepada 29 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari pelbagai bidang pengajian sejak tahun 2015.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada RM2 juta seperti yang dihasratkan oleh pihak SKG Group of Companies sebelum ini.

Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, biasiswa itu adalah unik kerana ia menyasarkan kepada pelajar pra siswazah yang berlatarbelakangkan keluarga dari kumpulan B40 dan kurang berkemampuan sebagai kreteria utama dengan syarat minima kelayakan akademik yang sangat rendah.

“Pelajar-pelajar yang cemerlang mempunyai peluang yang sangat cerah untuk memohon biasiswa dan bantuan kewangan yang lain. Bagi pelajar yang mungkin keputusan akademiknya hanya kurang sedikit dari pelajar cemerlang, mereka hanya bergantung kepada pinjaman pelajaran seperti PTPTN.

“Justeru itu, biasiswa Dr. Lee Siew Keong ini membantu pelajar-pelajar berkenaan dengan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Dr. Lee Siew Keong (SKG Group of Companies), di sini baru-baru ini.

SKG Group of Companies turut menaja projek penambahbaikan bilik-bilik diskusi di Perpustakaan Undang-Undang, Fakulti Undang-Undang.

Mengikut rekod pencapaian akademik, secara keseluruhannya para pelajar yang telah menerima biasiswa Dr. Lee Siew Keong sebelum ini berjaya mendapat nilai PNGK yang cemerlang, jauh lebih tinggi daripada nilai PNGK minima yang telah ditetapkan oleh dana pendidikan tersebut iaitu sekitar 2.75.