Smart i-warner Teknologi Terkini Beri Maklumat Awal Banjir


Oleh Muhamad Nuraiman Mustaqim
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Januari 2019 – Peristiwa banjir, tanah runtuh dan banjir lumpur yang semakin berleluasa melalui campur tangan manusia jelas mengubah pola bencana di Malaysia menjadi semakin kerap dan seharusnya dijadikan iktibar, kata Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Dalam syarahannya yang bertajuk Hidrologi Sekitaran: Dari Alur Ke Sungai, Daripada Tercemar Kepada Terawat di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran di sini, beliau telah menyentuh tentang isu banjir mega yang melanda kawasan timur Malaysia khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, kebanyakan peristiwa banjir kini berpunca daripada kerakusan manusia menjarah alam sekitar tanpa mengambil kira kepentingan alam sekitar.

Jadi, beliau telah menjalankan kajian dalam mengkaji kesan banjir besar di kedua-dua negeri tersebut yang berlaku pada tahun 2014.

Melalui kajian itu katanya, sistem takungan air banjir mesra alam telah dibina di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak yang menggunakan kaedah saliran swale untuk menyalurkan limpahan air banjir ke kolam takungan berdekatan.

“Sistem tebatan ini mampu memberikan manfaat terhadap masyarakat sekeliling melalui reka bentuk jajaran tasik yang dihubungkan melalui terusan yang dapat menyalurkan air banjir dengan efisyen,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan sistem smart i-warner juga dibangunkan dalam memberi maklumat awal tentang bencana banjir yang bakal melanda.

“Sistem ini beroperasi sebagai stesen cuaca mini yang memantau data cuaca dan memberi maklumat pantas secara atas talian,” katanya.

Dalam syarahan tersebut, beliau turut menyentuh tentang sistem Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) sebagai satu kaedah dalam mengimbangi keperluan manusia dan mengekalkan kelestarian sumber.

Beliau yang juga Profesor di Pusat Pengajian Sosial, Sekitaran dan Pembangunan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) berkata, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk menjaga sungai-sungai kerana sungai mempunyai hubungan simbiosis yang amat penting dan perlu dijaga untuk meneruskan kesinambungan kehidupan.

Pengalaman beliau sepanjang 26 tahun dalam bidang itu juga meyakinkan lagi bahawa langkah-langkah tersebut akan berhasil dalam jangka masa panjang jika dilakukan secara berterusan.

Hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Naib Canselor, Prof Ir Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, ahli keluarga Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan, UKM Bikers dan warga UKM.