Suami Sambung Belajar Demi Motivasi Isteri Habiskan PhD


Oleh Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 November 2018 – Pasangan suami isteri berkongsi kegembiraan apabila sama-sama bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-46.

Imran Khan, 37, telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan UKM (UKM-GSB), manakala isterinya, Dr. Nasuha Nordin, 37, mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS).

Dr. Nasuha berkata, antara punca utama suaminya menyambung pengajian di peringkat sarjana adalah semata-mata memberi sokongan dan memotivasikan beliau dalam menyelesaikan PhD.

“Saya buat PhD lama, hampir lapan tahun. Pada tahun ke enam saya berniat untuk berhenti dan menyerah, kemudian suami beritahu dia akan sambung belajar untuk sokong saya selesaikan PhD.  Itulah motivasi saya bagi menghabiskan perjuangan PhD ini,” ujarnya.

Suaminya, Imran pula menyatakan, bahawa menyedari hakikat kesukaran meyelesaikan PhD, maka sebagai suami selain memberi dorongan semangat dan motivasi, beliau mencari ruang sedaya upaya untuk membantu isterinya.

“Saya ada peluang untuk buat ijazah sarjana, jadi saya beritahu isteri, biar saya buat Ijazah Sarjana supaya kami boleh belajar bersama.

“Persekitaran pembelajaran bersama itu sangat penting bagi pasangan yang menyambung pengajian terutamanya di peringkat kedoktoran,” kata beliau.

Imran yang juga seorang pengurus operasi di sebuah syarikat Itali  di Shah Alam menyebut bahawa kejayaan bergraduasi bersama isterinya adalah hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-10 yang jatuh pada 1 November lalu.

Kedua-dua mereka turut berterima kasih kepada keluarga serta adik beradik yang memberi bantuan dan sokongan sepanjang tempoh pengajian.

Mereka juga menlahirkan rasa syukur kerana kedua-dua anak mereka, meskipun masih kecil tetapi begitu memahami dengan kesibukan belajar dan memberi sentiasa sokongan kepada mereka untuk menghabiskan pengajian.