Suasana Kerja Penting Bagi Tingkatkan Produktiviti – TNC HEPA

111111Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 20 April 2015 – Semua kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu berada dalam suasana dan persekitaran kerja yang selesa bagi meningkatkan produktiviti kerja.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal berkata persekitaran kerja yang kondusif akan memberi impak yang tinggi kepada produktiviti kerja.

“Persekitaran yang menarik akan membantu kepada perkhidmatan berkualiti dan mewujudkan penggunaan ruang yang optimum serta persekitaran tempat kerja yang lebih bersih, kemas dan selamat,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran dan Gotong Royong Perdana Sistem Persekitaran Berkualiti (SPB) 5S SPKP UKM pada 18 April lepas.

Beliau berkata dengan pelaksanaan sistem tersebut, urusan pelanggan yang berurusan dengan UKM dapat disegerakan dan akan menjimatkan masa pelanggan di semua kaunter atau pejabat.

“Pengurusan yang cepat, cekap dan berkesan perlu diterapkan sebagai budaya harian warga UKM kerana ia merupakan agenda utama UKM bagi meningkatkan kepuasan pelanggan.

“Saya berharap sistem ini difahami dan sentiasa diamalkan, memandangkan kesan jangka panjangnya akan memberi hasil yang amat baik kepada warga UKM dengan adanya komitmen yang padu dari semua kakitangan,” jelasnya.

Katanya Audit Kendiri SPB 5S Sistem Pengurusan Kualiti Perkhidmatan (SPKP)  ini juga merupakan salah satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk memastikan UKM terus teguh menghadapi cabaran persekitaran dan harapan pelanggan untuk menjadikan UKM sebagai organisasi contoh kepada universiti awam yang lain.

Beliau juga berharap dengan pelaksanaan aktiviti dan SPB 5S, usaha UKM untuk mendapatkan persijilan pada tahun ini akan dapat direalisasikan.

Terdapat sembilan kategori keperluan utama pelaksanaan SBP 5S yang harus  diberi perhatian oleh setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat iaitu pelaksanaan, ruang pejabat, ruang kerja/bilik pegawai, bahagian pengeluaran, tempat penyimpanan atau stor, tempat umum, kawasan persekitaran, keupayaan sumber manusia dan keselamatan.

Pada majlis itu, Prof Noor Aziah turut menyampaikan sijil kepada PTJ-PTJ yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam SBP 5S.