Sukarelawan Vaksin Astrazeneca Berpuas Hati dengan Fasiliti Pemberian Vaksin UKM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 20 Mei 2021 – Rata-rata sukarelawan vaksin yang menerima vaksin Astrazeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Gemilang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan oleh universiti dalam memudahkan dan mencepatkan proses pemberian vaksin.

Ahmad Farhan Mohd Sabri, 26, dari Kajang berkata kemudahan yang disediakan di PPV Dewan Gemilang teratur dan sangat selesa.

“Banyak kerusi yang disediakan dan semua disusun dengan jarak yang mengikut prosedur operasi standard. Tidak perlu tunggu lama dan masa temu janji yang diberi juga memang mengikut waktu,” katanya ketika ditemui selepas mendapat dos pertama vaksin Astrazeneca di PPV Dewan Gemilang di sini, baru-baru ini.

Katanya dia memang bersedia untuk mendapatkan vaksin kerana setiap vaksin yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia telah melalui proses klinikal yang ketat.

“Kita pun dah tahu banyak kajian tentang vaksin ni telah menunjukkan keberkesanannya. Jadi, saya rasa tidak salah pun untuk mencuba,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan vaksin, Wan Nur Hafiza Wan Anuar dari Semenyeh berkata beliau tidak perlu beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin dan prosesnya sangat lancar.

“Saya tidak berasa gentar untuk ambil suntikan ini kerana berdasarkan pembacaan saya, vaksin Astrazeneca ini sudah banyak diambil di United Kingdom (UK) dan daripada 100,000 orang yang mengambil suntikan itu, hanya seorang sahaja yang tidak okay. Jadi apa salahnya saya cuba,” katanya yang turut akan membawa ibu bapanya untuk menerima vaksin.

Bagi seorang warga emas, Ong Chong Tai, 60, beliau hanya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mendapatkan suntikan vaksin Astrazeneca.

I feel very good. The procedure is very smooth. Semuanya mengikut jadual,” katanya.

Katanya, dalam keadaan sekarang dengan kes jangkitan yang semakin banyak, dia menyarankan rakyat Malaysia untuk mengambil suntikan vaksin kerana kita tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berterusan.

Pensyarah UKM yang turut mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksin di PPV tersebut, Dr. Zubir Idris berkata beliau bersyukur kerana akhirnya beliau telah menerima vaksin setelah sekian lama berada dalam ketakutan.

“Menerima suntikan vaksin ini merupakan satu perkara yang tidak menyakitkan sebenarnya. Marilah kita menerima vaksin ini demi kesejahteraan dan kebajikan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Di PPV Dewan Gemilang UKM, kira-kira 31,000 sukarelawan akan menerima suntikan vaksin Astrazeneca yang telah bermula pada 5 Mei 2021 hingga 6 Jun 2021. Semua sukarelawan itu telah membuat permohonan dan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.