Sumbangan RM50, 000 Bantu Pelajar Terkesan Covid-19

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Februari 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan RM 50,000 daripada rakan strategiknya, Sayling Wen Cultural and Educational Foundation dalam usaha mengurangkan impak pandemik Covid-19 terhadap pelajar.

Sumbangan itu akan disalurkan melalui UKM Bursary kepada pelajar yang terjejas akibat Covid-19 seperti pelajar yang disahkan positif dan dikenal pasti sebagai kontak rapat yang sedang dikuarantin.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat), Prof Dato’ Norazah Mohd Nordin menerima sumbangan tersebut berterima kasih kepada Sayling Wen Cultural and Educational Foundation di atas sumbangan dan bantuan yang tidak berbelah bahagi kepada UKM.

Beliau menekankan bahawa yayasan tersebut telah menyumbangkan 1050 unit Isolation Coverall PPE dan 10 unit 5L Oksigen Concentrator kepada Hospital Tuanku Canselor Muhriz pada September tahun lepas.

“Kedua-dua pihak bukan sahaja bekerjasama untuk membangunkan bakat dan memupuk minda, tetapi kami juga mengumpulkan sumber dan usaha untuk menangani cabaran global.

“InsyaAllah, kami akan pastikan dana yang disumbangkan akan disalurkan sebaiknya,” katanya.

Kerjasama antara UKM dan Sayling Wen Cultural and Educational Foundation bermula hasil daripada penyertaan UKM dalam University Alliance in Talent Education Development (UAiTED).

UAiTED adalah persatuan antarabangsa yang memupuk bakat sambil berkongsi kekuatan, pengalaman dan sumber masing-masing dengan matlamat bersama untuk memudahkan pembangunan bakat global merentas serantau, pelbagai budaya dan antara disiplin melalui kerjasama strategik.