Sumbangan Wang Zakat UKM Di Tiga buah Kampung Angkat UKM.


Berita dan gambar oleh: Abd Raai bin Osman

Bangi, 20 Jun 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyumbang sebanyak RM27 ribu wang zakat di tiga buah kampung angkatnya, yang mempunyai kaitan menarik dengan universiti, sempena bulan Ramadhan tahun ini.

Sumbangan ini adalah hasil pungutan wang zakat yang telah ditunaikan oleh warga UKM samada secara tunai mahupun potongan gaji.

Tiga buah kampung angkat UKM tersebut adalah Kampung Sungai Buah Dengkil Selangor, Kampung Baru Seberang Takir Terengganu dan Kampung Pulau Manis Pekan Pahang.

Pemberian wang zakat tersebut melibatkan 135 orang asnaf terdiri daripada balu-balu, orang kurang upaya dan asnaf fisabilillah.

Majlis sumbangan telah diadakan di tiga tempat yang berasingan sepanjang bulan Ramadhan.

Majlis penyampaian cek kepada wakil-wakil penduduk kampung tersebut disampaikan oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Seri Dr Nor Azlan Ghazali ketika majlis Menghayati Nuzul Quran di Pusat Islam.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UKM), Prof. Datuk Dr. Rokiah Haji Omar telah berkunjung ke tiga buah kampung tersebut bagi menyampaikan wang zakat. Turut hadir adalah pegawai Tabung Zakat UKM dan Pusat Islam UKM.