Syarikat SME Perlu Kreatif dan Berinovasi


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Mac 2017 – Semua syarikat SME perlu kreatif dan berinovasi bagi mengekalkan persaingan sama ada di pasaran domestik atau pun antarabangsa.

Demikian menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Bengkel TOT Siswapreneur@SME 2017 di UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam dunia serba moden, dunia perniagaan merentasi sempadan dan disebabkan itulah syarikat SME perlu kreatif dalam memastikan perniagaan mereka maju kehadapan.

“Jadi, kita mahukan pelajar yang menceburi bidang keusahawanan mampu menguruskan perniagaan dengan terurus dan berkesan.

“Untuk membimbing pelajar-pelajar kita ke arah keusahawanan yang berjaya, anda semua (peserta bengkel) perlu membimbing mereka (pelajar) dalam aspek pengurusan perniagaan SME,” tambahnya.

Beliau berkata kandungan bengkel itu akan dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang pengurusan perniagaan secara langsung dengan pemilik syarikat memandangkan pelajar akan membuat lawatan ke syarikat dan membantu dalam memberikan khidmat nasihat kepada syarikat dalam bidang pengurusan, pemasaran dan kewangan.

“Bantuan daripada pelajar ini membolehkan syarikat SME berdiri dengan lebih utuh dalam industri dan saya yakin pelajar-pelajar kita mampu memberikan yang terbaik dan menjadi usahawan yang berjaya selepas mengikuti program ini,” katanya.

Katanya kehadiran para pensyarah keusahawanan ke bengkel itu menunjukkan komitmen setiap pihak pengurusan  teratas universiti untuk menjayakan hasrat KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) dalam melahirkan pelajar yang holistik, seimbang serta kreatif yang mampu mencipta kekayaan berbanding hanya makan gaji sebagai pekerja.

Untuk Bengkel TOT Siswapreneur@SME 2017, KPT telah bersetuju memberikan peluang kepada lima universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Pada tahun lepas, program itu telah berjaya membantu 60 syarikat PPRN (Public-Private Research Network) yang disertai oleh 291 orang pelajar dan 60 penyelia, yang melibatkan lapan buah universiti.