Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM yang Baharu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 November 2018 – Mantan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu berkuatkuasa 1 November 2018 hingga 31 Oktober 2021 menggantikan Tan Sri Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

Beliau adalah tokoh korporat yang paling versatil di Malaysia dan berpengalaman luas dalam memimpin empat organisasi utama dalam pembangunan infrastruktur, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan pengurusan pelaburan.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, UKM berbangga dengan pelantikan Tan Sri Abdul Wahid sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM.

“Warga UKM akan memberi kerjasama yang terbaik dalam memastikan kelancaran LPU dan bertindak efektif dalam membuat keputusan. Semoga UKM akan terus cemerlang dan menjuarai,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Wahid berkata, beliau amat menghargai penghormatan yang telah diberikan dan berbesar hati menerima pelantikan tersebut.

“Peluang keemasan ini memenuhi impian saya untuk menyumbang dalam pendidikan, kepimpinan dan pembangunan sumber manusia. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk UKM dan negara,” katanya.

Tan Sri Abdul Wahid dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank, sebuah syarikat perbankan yang disenarai awam terbesar di Malaysia juga dikenali sebagai salah sebuah daripada kumpulan perbankan terkemuka di Asia Tenggara pada Mei 2008.

Sebelum menyertai Maybank, beliau ialah CEO Kumpulan Telekom Malaysia Berhad bermula Julai 2004 sehingga pengasingannya dengan Axiata Group Berhad pada April 2008. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan / CEO UEM Group Berhad serta Naib Pengerusi Eksekutif PLUS Expressways Berhad dan Pengerusi Persatuan Bank- Bank Dalam Malaysia.

Pada Jun 2013, beliau dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Perancangan Ekonomi. Beliau memegang jawatan itu sehingga Jun 2016 dan pada Ogos 2016, beliau dilantik pula sebagai Pengerusi Kumpulan PNB, sebuah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia.

Tan Sri Abdul Wahid Omar adalah Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA, UK) serta ahli Institute of Chartered Accountants in England & Wales (ICAEW) dan Malaysian Institute of Accountants (MIA).