Tan Sri Dato Seri Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan RCSEd International Medal 2021


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 25 September 2022 – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato Seri Dr Noor Hisham Abdullah telah dianugerahkan Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) International Medal 2021, baru-baru ini.

Anugerah itu diberikan sebagai mengiktiraf sumbangan beliau yang cemerlang dalam kepimpinan teladan semasa pandemik COVID-19, selain sumbangan beliau kepada bidang pembedahan di Malaysia.

Tan Sri Dato Seri Dr Noor Hisham yang merupakan Alumni UKM menerima anugerah tersebut daripada Presiden RCSEd, Prof. Michael Griffin disaksikan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM semasa majis santapan malam bagi memuliakan keberangkatan tuanku.

Turut mengiringi baginda ialah DYMM Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan dua putera baginda, Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Selain itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman turut hadir ke majlis tersebut yang diadakan di RCSEd, Scotland.

RCSEd menganugerahkan pingat tersebut setiap tahun kepada pakar bedah antarabangsa yang cemerlang yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang pembedahan di seluruh dunia.

Pada tahun 2015, Pro-Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid menjadi rakyat Malaysia pertama yang dianugerahkan pingat tersebut.