Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dilantik Pro-Canselor UKM Baharu


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 27 November 2021 – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu, berkuat kuasa 7 Oktober 2021 bagi tempoh tiga tahun sehingga 6 Oktober 2024, menggantikan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia pada 28 Ogos yang lepas.

Pengisytiharan pelantikan itu disempurnakan oleh Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Sidang Canselor yang akan berlangsung pada 27 November 2021.

Ibarat sirih pulang ke gagang, Tan Sri Mohd Zuki merupakan alumni Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM pada tahun 1985 dan beliau adalah alumni pertama yang dilantik sebagai Pro Canselor.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts Dr. Mohd. Ekhwan Toriman percaya pelantikan ini mampu menyumbang dan membawa UKM untuk mencapai kemajuan akademik dan pengurusan organisasi yang lebih cemerlang.

“Dengan kepimpinan dan kewibawaan Tan Sri Mohd Zuki menerajui perkhidmatan awam, lantikan ini amat bertepatan dengan hasrat dan visi UKM untuk terus menggarap lebih banyak kecemerlangan di persada nasional dan antarabangsa.

“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi dan memberi laluan kepada para alumni yang lain untuk kembali berbakti kepada universiti,” katanya.

Anak jati Kuala Terengganu tersebut juga berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura dan Massachusset Institute of Technology (MIT), USA pada tahun 1999.

Merupakan seorang akauntan cukai di awal kariernya, Tan Sri Mohd Zuki meneruskan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan.

Sepanjang 29 tahun sebagai penjawat awam, beliau telah berkhidmat di pelbagai Kementerian dan Jabatan dengan menggalas beberapa jawatan penting antaranya di Kementerian Pendidikan (Penolong Setiausaha), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Pegawai Khas YB Menteri), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Setiausaha Sulit Kanan kepada YB Menteri), dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (Setiausaha Sulit Kanan kepada YB Menteri).

Hasil kesungguhan dan kecemerlangannya dalam perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga pernah diberi amanah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri; Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang; Setiausaha Persekutuan Sarawak; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Majlis Konvokesyen UKM ke-49 juga turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Jaringan Pendidikan Kesihatan Dan Kelestarian) kepada Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains Nuklear) kepada Y.M. Raja Dato’ Abdul Aziz Raja Adnan. Beliau adalah mantan Pengarah Bahagian Keselamatan Nuklear (Director of Nuclear Security – DIR-NS) di Jabatan Keselamatan Nuklear (Department of Nuclear Safety and Security), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency – IAEA) yang beribu pejabat di Vienna, Austria. Anugerah itu diberikan atas sumbangan besar kedua-dua tokoh ini dalam pembangunan negara.

Majlis yang diadakan secara fizikal itu bakal menyaksikan seramai 7,709 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.