Teknologi Berasas Bio UKM Dipilih Untuk Dipasarkan Seluruh Dunia

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 24 Feb 2016 – My Innovation Hub (MIH) telah memilih teknologi pelantar iaitu hasil rekaan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merupakan satu-satunya teknologi yang akan disokong untuk dikomersilkan kepada pihak luar.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata UKM mempunyai banyak hasil inovasi berkualiti tinggi ciptaan pensyarah dan penyelidik yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita harap MIH dapat membantu dalam merealisasikan hasrat tersebut dalam menjadikan tahun 2016 sebagai tahun mengkomersilkan hasil R&D UKM,” katanya pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan MIH di sini pada 22 Feb lepas.

Beliau berkata UKM amat menghargai keyakinan yang diberikan kepada teknologi sintesis poliuretane daripada minyak rongseri kelapa sawit (PKO) untuk diterjemahkan kepada pelbagai bahan dagangan berasaskan bahan biologi.

“Bioplastik merupakan teknologi masa hadapan yang mesra alam dan saya turut difahamkan bahawa Sukan Olimpik 2020 di Jepun akan menggunakan bahan tersebut secara meluas,” katanya.

Prof Mazlin berkata beliau berharap pada masa hadapan akan ada lebih banyak hasil inovasi yang boleh diketengahkan oleh MIH untuk manfaat semua pihak.

“Selain itu, ia juga mampu menjana pendapatan tambahan kepada university dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

UKM juga berharap dapat membantu MIH melengkapkan KPI yang perlu dicapai dalam tempoh lima tahun antaranya mewujudkan 100,000 jawatan baru kepada para graduan, penubuhan syarikat baharu berasaskan hasil penyelidikan university dalam dan luar negara dan meningkatkan kedudukan Malaysia berdasarkan Global Innovation Index.

MIH telah ditubuhkan sebagai satu inisiatif daripada Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan Ekosistem Inovasi untuk menghubungkan ahli akademik dengan Kerajaan, Sektor Swasta dan Komuniti seperti Rangka Tindakan Pendidikan Pengajian Tinggi yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada April 2015.

Pada majlis itu, MIH diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.ukmnewsportal-bm
02

03