Terima Skrol Anak di Majlis Konvokesyen UKM


Oleh Nur Batrisyia
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI,10 April 2021 – Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Arvin a/l Partheyban pada 1 Februari 2021 meninggalkan kenangan pahit kepada kedua-dua ibu bapanya, Partheyban a/l Ellan dan Manimala a/p Krishnan.

Kesedihan itu sedikit sebanyak terubat apabila Partheyban mewakili mendiang anaknya untuk mengambil skrol Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Pengajian Bahasa Melayu) dari Naib Canselor UKM.

Turut hadir ialah isterinya Manimala a/p Krishnan.

Kemalangan itu telah meragut nyawa anak lelaki mereka Arvin a/l Partheyban yang merupakan graduan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-48.

“Sepatutnya hari ini adalah hari bersejarah buat Arvin. Dia yang sepatutnya naik pentas ambil skrol ini,” luah Partheyban yang tidak dapat menahan sebak.

Partheyban berkata mendiang Alvin adalah seorang anak yang baik yang sentiasa membantu keluarga.

“Dia tidak pernah mengecewakan keluarga dan saya sangat berbangga dengan keperibadian Alvin,” katanya.

Sepanjang di UKM, Alvin terlibat aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Mendiang Alvin adalah anak kedua daripada tiga beradik. Kakak sulungnya juga adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan kepujian (Psikologi) yang turut bergraduasi pada majlis konvokesyen tersebut.