Tidak Mengalah Demi Balas Jasa Ibu Bapa

Oleh Engku Shariful Azni
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 15 November 2018 – Demi membalas jasa ibu bapa, Azlia Asmira Ruslee, 25, menepis segala dugaan dan rasa putus asa untuk mencapai cita-cita menjadi antara pelajar cemerlang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kesungguhan dan semangat juangnya itu berbaloi apabila beliau telah dianugerahkan Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-46.

“Rasa putus asa itu tidak hadir dalam diri saya kerana pada saat saya jejakkan kaki di UKM, saya sudah pasakkan niat dalam hati untuk menjadi pelajar cemerlang,” jelasnya.

Walaupun Azlia dan keluarga sering berpindah-randah sebanyak tujuh kali semasa di dibangku sekolah, itu tidak sesekali menghalangnya daripada memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Dia yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentabiran Perniagaan dengan Kepujian (Perkhidamatan Kewangan dan Pengurusan Risiko), turut berkongsi rahsia kejayaannya.

“Saya sentiasa beri fokus dan perhatian yang lebih kepada subjek yang saya kurang kuasai. Apabila saya sudah mahir dengannya, saya akan mengajar rakan-rakan yang lain bagi mengukuhkan pemahaman saya terhadap subjek tersebut,” katanya.

Azlia juga menegaskan bahawa jangan malu untuk berhubung dengan pensyarah atau orang lain untuk menimba ilmu dan bertanyakan perihal akademik.

Mengakui tidak terlepas daripada tekanan ketika menelaah pelajaran, Azlia turut melibatkan diri dalam aktiviti luar kuliah seperti bersukan dan menyertai aktiviti kesukarelawanan seperti berkunjung ke rumah orang-orang tua.

Azlia yang kini bekerja sebagai Penasihat Kewangan Risiko di syarikat Ernst & Young (EY) mengumpul pengalaman sebanyaknya dan berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di luar negara.

“Peluang keemasan berada di mana-mana. Kita perlu ambil dan cuba walaupun gagal. Jangan takut untuk mencuba,” nasihatnya kepada para mahasiswa yang lain.

Sepanjang penubuhan UKM 48 tahun lalu, UKM telah berjaya melahirkan 197,191 graduan daripada pelbagai bidang dan kepakaran.