Tiga Ahli Akademik Wanita Bincang Revolusi Industri Ke-4


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 10 Oktober 2017 – Tiga ahli akademik wanita memainkan peranan penting dengan menjelaskan secara terperinci mengenai wanita penggerak revolusi industri ke-4 sempena Bicara Wanita Cemerlang yang diadakan baru-baru ini oleh Pusat Kepimpinan Wanita (PKW), baru-baru ini.

Ketiga-tiga ahli akademik berkenaan ialah Pengarah PKW, Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak, Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (CESMED), Prof Datin Dr Shamsubariah Ramlee dan Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Khazanah UKM, Prof Madya Dr Maisarah Ahmad.

Prof Datin Dr Norizan berkata, kepesatan era revolusi industri dan teknologi yang menggunakan strategi luar biasa termasuk pengguna robotik menjadikan pasaran tenaga kerja semakin berdaya saing.

Menurut beliau, wanita perlu berani mengambil peluang, peka dan bersedia menempatkan diri pada era Revolusi Industri Ke-4 supaya tidak ketinggalan dengan setiap perubahan.

Katanya, wanita kena peka dunia teknologi sangat pantas, berkesan dan digunakan sebagai contoh robot yang dihasilkan untuk menjadi pekerja memandangkan ia lebih murah daripada manusia.

Tambah beliau, wanita perlu berfikir secara kritikal dan membina rangkaian sebanyak mungkin di seluruh dunia menggunakan teknologi pada hari ini sangat berguna untuk membantu wanita dalam industri berkenaan.

Sementara itu, Prof Datin Dr Shamsubariah berkata, wanita juga perlu bersiap sedia berhadapan dengan kesan kepesatan teknologi kerana ada keburukan lain jika tidak dikawal.

Katanya, dari aspek lain, teknologi atau peralatan robotik boleh mengikis hubungan kekeluargaan yang perlu disemai kerana masing-masing leka dengan dunia sendiri.

Menurut beliau, teknologi hanya menjadi platform untuk wanita bergerak lebih maju dan pada masa sama mengekalkan jati diri supaya tidak dimanpulasi oleh teknologi.

Manakala, Prof Madya Dr Maisarah pula berkata, membina hubungan dan rangkaian perniagan secara alam maya adalah strategi utama mampu memperkasakan wanita dalam bidang industri daripada duduk menanti pelanggan untuk berurusan jual beli.

Katanya, kita kena yakin dan belajar menggunakan komputer dan teknologi untuk memasarkan produk serta perkhidmatan.