Tiga Pasangan Suami Isteri Terima Ijazah Serentak

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 6 Nov 2015 – Tiga pasangan suami isteri menerima ijazah pasca siswazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-43 yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 3 November lalu.

Mereka termasuklah Dr. Sabrizan Osman yang menerima Ijazah Doktor Kesihatan Masyarat manakala isterinya, Dr. Nabihah Shamsuddin menerima Ijazah Doktor Pakar Perubatan Keluarga.

Dr. Sabrizan berkata beliau dan isterinya sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain dalam memastikan pengajian mereka berjalan lancar.

“Banyak cabaran dan dugaan yang kami tempuh sepanjang pengajian ini. Anak-anak kurang mendapat perhatian kerana kami berdua masing-masing sibuk dengan kerja dan tugasan pengajian,” katanya selepas menerima ijazah pada majlis Konvokesyen UKM ke-43 di sini.

Beliau berkata apabila tiba musim peperiksaan, beliau dan isteri akan bergilir-gilir mengasuh anak-anak dan saling membantu bagi memastikan kedua-dua mereka beroleh kejayaan cemerlang.

Pasangan ini mempunyai tiga cahaya mata termasuk seorang bayi yang baru berusia sebulan.

Sementara itu, pasangan Dr. Siti Baizura Abd. Aziz yang menerima Ijazah Doktor Radiologi dan suaminya, Dr. Mazhar Mohd. Su’ud yang menerima Ijazah Sarjana Sains Kesihatan Masyarakat (Kesihatan Pekerjaan),  berkata suaminya banyak bertolak ansur dan memberi sokongan kepadanya dalam mengejar cita-cita.

“Pengorbanan yang dilakukan oleh kami suami isteri untuk tempoh empat tahun ini telah membuahkan hasil apabila kami sama-sama dapat menamatkan pengajian ini.

“Apa yang penting bagi pasangan yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu pandai mengatur masa, bertolak ansur dan merancang keluarga sebaik-baiknya,” katanya yang kini bekerja di Hospital Batu Pahat manakala suaminya di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.

Satu lagi pasangan yang  turut menerima Ijazah pada majlis itu adalah Akmalulhakeem Nor Hashim, dan isteri, Sharifah Nur Eli Diana Syed Ismail, kedua­-duanya menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Sharifah Nur Eh Diana berkata kehamilannya yang kini memasuki lapan bulan adalah satu rahmat kepada dirinya dan suami.

“Saya bersyukur kerana perjalanan hidup kami suami isteri berjalan lancar selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2013.

“Selepas mendirikan rumah tangga, kami merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan alhamdulillah perancangan kami dipermudahkan,” katanya yang kini berkhidmat di Sobena Offshore Sdn. Bhd.

Katanya, beliau dan suami tetap mempunyai keinginan untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah suatu hari nanti.ukmnewsportal-bm
02