Tingkatkan Inovasi dan Penggunaan Bioteknologi untuk Capai Negara Berpendapatan Tinggi


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 15 Disember 2021 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ingin menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, mampan, dan inklusif menjelang tahun 2030 melalui inovasi dan penggunaan bioteknologi pada skala komersial.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata demikian pada majlis pembukaan Simposium Biohidrogen dan Biorefineri Asia anjuran Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Simposium berkenaan bertindak sebagai platform untuk berkongsi perkembangan terkini dan inovasi dalam teknologi biohidrogen, penapisan bio, nilai ekonomi serta potensi untuk menukar biojisim kepada produk bernilai tinggi.

Malaysia harus dan mesti memberi tumpuan kepada teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui serta penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim, tambah Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Dianggarkan Malaysia mengeluarkan 168 juta tan biojisim setiap tahun. Ini termasuk sekam padi, kayu balak, minyak kelapa dan sisa sawit.

“Sumber lestari ini boleh ditukar kepada produk berasaskan bio baharu termasuk biotenaga, baja bio dan biobahan.

“MOSTI percaya bahawa Malaysia boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan biojisim yang efisien.

“Menurut data dari Malaysian Bioeconomy Development Corporation, pertumbuhan tahunan 15% yang dirangsang diunjur meningkat daripada RM149.1 bilion pada tahun 2020 kepada RM181.2 bilion pada tahun 2030.

“MOSTI juga berbangga dengan kerja-kerja yang telah dilakukan di universiti dan institut penyelidikan tempatan kita berkenaan penyelidikan asas pengeluaran hidrogen daripada bahan sisa, bukan sahaja daripada industri minyak sawit, tetapi juga daripada industri pertanian yang lain.

Datuk Seri Dr Adham Baba turut menggalakkan pemain industri untuk beralih kepada produk bio diperbuat daripada sumber yang boleh diperbaharui untuk mengurangkan jejak karbon dan pelepasan karbon.

Naib Canselor UKM Dato’ Ts. Dr Mohd. Ekhwan Haji Toriman berkata bahawa bioekonomi dilihat sebagai satu aspek penting dalam penggunaan dan pengeluaran yang mampan.

“Di UKM, banyak kerja telah dilakukan di fakulti, institut penyelidikan dan pusat penyelidikan asas dan aplikasi dalam bioekonomi. Bioekonomi merangkumi pelbagai aspek termasuk penyelidikan dan pembangunan produk bio, perniagaan, dan pembuatan dasar,” jelasnya.