TNC AA Jalan Tugas dan Fungsi Naib Canselor UKM


Oleh Asmahanim Amir

Foto Oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 17 November 2020 – Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Dr Ir Mohd Marzuki Mustafa kini dilantik bagi menjalankan tugas dan fungsi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar melalui e-mel rasmi UKM, selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada Universiti Awam pada 30 Ogos 2019 berkenaan Proses Baharu Pelantikan Naib Canselor Universiti Awam Tahun 2019, proses saringan dan senarai pendek sedang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pencalonan dan Lembaga Pengarah UKM.

Katanya, senarai pendek dan maklumat berkaitan akan dikemukakan kepada KPT sebelum akhir bulan November 2020 untuk proses selanjutnya.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah Universiti, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Prof Dato’ Marzuki kerana sudi menggalas tanggungjawab menjalankan tugas Naib Canselor sehingga proses pelantikan Naib Canselor yang baharu selesai.

“Saya juga berterima kasih kepada seluruh Warga UKM atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada Prof Dato’ Marzuki dan barisan pengurusan UKM semasa proses peralihan ini. Amat dihargai. Marilah kita bersama-sama menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ini sehingga berjaya,” katanya.

Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor menamatkan tempoh sebagai Naib Canselor UKM pada 31 Oktober 2020 dan dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya yang baharu bermula 1 November 2020. Dalam tempoh yang singkat itu, beliau telah menunjukkan tokoh kepimpinan yang cemerlang apabila kejayaan demi kejayaan telah dilakar oleh UKM.