TNC Gesa Supaya Atasi Masalah Harian UKM

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 18 Jan 2016 – Pihak pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ingin menyelesaikan beberapa isu seperti keselamatan, penyelenggaraan dan  prasarana melalui Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UKM.

Pihak KIK juga disarankan supaya membantu masalah  masa menunggu dan discaj pesakit yang lama serta kemudahan tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) sebagai  projek rintis.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Ir Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat berkata pihak pengurusan sentiasa terbuka kepada idea-idea baharu untuk dilaksanakan di kampus UKM.

Beliau membuat gesaan itu ketika merasmikan Konvensyen ke-20 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), di sini pada 13 Januari lalu.

Katanya,  projek-projek yang dijalankan melalui KIK ini bukan sahaja mampu untuk membantu Pusat Tanggung Jawab  malahan mampu membantu UKM meningkatkan kepercayaan pihak berkepentingan terhadap perkhidmatan yang lebih berinovasi.

“Pengurusan UKM juga amat mengharapkan agar kumpulan KIK membantu Pengurusan UKM dalam menambahbaik beberapa isu utama seperti isu keselamatan, penyelenggaraan prasarana dan jika di HCTM PPUKM – isu berkaitan masa menunggu dan discaj pesakit yang lama serta kemudahan tempat letak kereta yang merupakan antara isu yang boleh dipilih sebagai projek rintis.

“Saya yakin dengan kemahiran dan pengalaman daripada ahli-ahli Kumpulan KIK, mereka akan mampu membuahkan hasil idea kreatif untuk menyelesaikan isu utama di atas dan mampu memberikan impak yang signifikan kepada pelanggan dan warga UKM sendiri,” beliau menerangkan.

Beliau memuji KIK kerana ia bukan sahaja diiktiraf pada peringkat UKM namun ia juga telah dipersembahkan dan diberikan pengiktirafan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa melalui beberapa penyertaan konvensyen seperti di universiti dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Tambah beliau, penganjuran konvensyen ini juga membuktikan komitmen pengurusan UKM untuk terus mengiktiraf aktiviti dan kumpulan KIK di UKM.

Dalam pertandingan produk dan perkhidmatan berinovasi, kumpulan ‘I-Care’ dari Jabatan Radiologi, Hospital Canselor Tuanku Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTUKM) muncul sebagai juara keseluruhan.

Pasukan ‘I-Care’ juga mendapat tempat pertama dalam kategori pengurusan di pertandingan KIK tersebut.

Manakala pasukan ‘B-Med’, juga dari HCTUKM, dinobatkan sebagai johan bagi kategori Teknikal.ukmnewsportal-bm
02

03

04