UKM adakan Perbincangan dengan Kedutaan Hungary Kukuhkan Kerjasama Akademik

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 3 Februari 2021 – Bangi mengukuhkan kerjasama akademik antara Malaysia khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Institusi Pengajian Tinggi di Hungary, Naib Canselor, Prof Dato Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Duta Besar Hungary ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Petra Ponevacs – Pana telah mengadakan perbincangan dua hala secara dalam talian bagi membincangkan hubungan pendidikan antara kedua-dua negara, baru-baru ini.

Antara perkara penting yang dibincangkan adalah berkenaan Biasiswa Stipendium Hungaricum, Biasiswa Erasmus Mundus dan kerjasama penyelidikan antara UKM dan universiti di Hungary yang merangkumi bidang Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Perubatan.

Isu-isu lain yang turut dibangkitkan dalam perbincangan itu termasuk program pertukaran pelajar dan staf, dan pemeteraian perjanjian untuk mengeratkan hubungan.

Sebelum ini, UKM telah memulakan kolaborasi penyelidikan dengan Eötvös Loránd University, Hungary sejak tahun 2014 dalam penyelidikan paleontologi yang terletak di Langkawi UNESCO Global Geopark.

UKM dan Kedutaan Besar Hungary di Malaysia berharap perbincangan dua hala itu dapat mengeratkan hubungan antara UKM dan universiti di Hungary.

Turut sama dalam perbincangan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Ir Mohd Marzuki Mustafa, Pengarah Pusat Perhubungan Antarabangsa (UKM Global), Prof. Madya. Dr. Abdul Latiff bin Ahmad dan Pegawai UKM Global, Harfiz Rasul Mohamad.