UKM Agensi Kerajaan Pertama Bakal Miliki Gamma Knife Centre


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 23 Februari 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui UKM Specialist Centre adalah agensi kerajaan pertama bakal memiliki pusat rawatan barah dan ketumbuhan otak berteknologi tinggi iaitu Gamma Knife Centre yang akan dibina di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Pusat rawatan yang dibina di atas tapak berkeluasan 4,000 kaki persegi itu akan siap pada September ini dengan nilai kira-kira RM25 juta.

Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam berkata pusat rawatan radiosurgery itu akan memberi manfaat kepada pelbagai jenis pesakit khususnya yang mempunyai ketumbuhan barah dalam otak atau ketumbuhan bukan barah dalam otak.

“Ia termasuk perubahan-perubahan dalam saluran pengaliran darah dalam otak yang boleh mengakibatkan pendarahan dalam otak yang boleh menyebabkan stroke dan membawa maut,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Upacara Pecah Tanah Pusat Gamma Knife dan Pelancaran Wad Kristal di Pusat Perubatan UKM, di sini semalam.

Beliau berkata penyakit-penyakit tersebut boleh dirawati dengan kemudahan baru dengan risiko rendah.

“Dengan adanya pusat itu, pesakit yang menghidap ketumbuhan atau barah otak tidak perlu lagi menjalani pembedahan biasa seperti sebelum ini, tetapi mereka hanya perlu melakukan rawatan menggunakan sinaran radiasi Gamma Knife.

“Kaedah rawatan moden ini hanya memberi tumpuan khusus kepada rawatan tisu otak yang bermasalah tanpa menjejaskan tisu di kawasan lain,” jelasnya.

Datuk S Subramaniam berkata kaedah rawatan tersebut bukan sahaja mudah tetapi dapat mengurangkan trauma kepada otak dan kos rawatan untuk jangka masa panjang juga berpatutan.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Wad Kristal UKM Specialist Centre.

Hadir sama ke majlis tersebut adalah Duta Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin Dannfelt dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat.