UKM Agih Kutipan Zakat RM3.7 juta Bagi Tahun 2015

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 13 Julai 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengagihkan zakat sebanyak RM3.7 juta bagi tahun 2015 kepada lebih 6,000 penerima yang layak berbanding RM3.2 juta pada tahun 2014.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata agihan telah diurus berdasarkan kepada tatacara dan manual pengendalian zakat yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor.

“Perbezaan jumlah agihan di antara tahun 2015 dan 2014 menunjukkan peningkatan permohonan bantuan zakat khususnya daripada pelajar, ekoran keadaan ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup.

“Pihak UKM sentiasa berusaha membantu pelajar yang memerlukan dan sumbangan daripada organisasi luar amat dihargai dan dialu-alukan sebagai sumber alternatif dalam membantu pelajar dan warga UKM yang layak,” katanya semasa Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pertambahan kutipan zakat sebanyak RM10.4 juta pada tahun 2015 menggambarkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan warga UKM, syarikat korporat dan syarikat perbankan tentang kewajipan untuk membayar zakat dan potensi zakat yang dikeluarkan dalam membantu golongan yang layak.

“Jika sikap untuk saling membantu terus ditanam dalam setiap diri umat Islam, UKM juga mampu menjadi institusi pengajian tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh zakat dan waqaf,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hubungan Strategik BIMB, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh berkata BIMB telah memperuntukkan RM1 juta kepada semua Universiti Awam (UA) kerana hampir semua UA adalah pelanggan Bank Islam.

“Kita mahu pastikan nikmat ini (zakat) dapat dikongsi bersama. Agihan dibuat bergantung kepada jumlah pelajar di sesebuah universiti. Kalau jumlah pelajar yang layak menerima zakat adalah ramai, maka kita akan bagi lebih kepada universiti tersebut.

Majlis tersebut telah menyaksikan BIMB menyerahkan zakat perniagaan bernilai RM50,000 kepada UKM.ukmnewsportal-bm
2

3