UKM Akan Bawa Tiga Fakulti Kesihatan ke Cheras bagi Membangunkan Teknopolis Kesihatan UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merancang untuk memindahkan tiga fakulti yang kini terletak di Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi – ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, bagi membangunkan Teknopolis Kesihatan UKM.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata selain daripada memindahkan tiga fakulti tersebut, UKM juga akan menubuhkan hospital swasta dalam usaha untuk mewujudkan integrasi antara akademik, penyelidikan, perkhidmatan kesihatan dan perubatan supaya dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif.

“Pembangunan ini memfokuskan kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi.

“UKM akan menyediakan struktur dan landasan untuk berhubung dengan industri yang mungkin berpotensi untuk melahirkan konsep dan idea-idea baru serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dalam memudahkan pengkomersilan penyelidikan dan meningkatkan kesihatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkenaan dengan pembangunan Teknopolis Kesihatan UKM di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata selain itu, UKM juga sedang dalam pembinaan hospital pakar kanak-kanak di kawasan HCTM yang dijangka siap pada 2018.

“Pembinaan hospital pakar kanak-kanak itu juga adalah salah satu daripada perancangan kita dalam menjayakan Teknopolis Kesihatan UKM,” katanya.

Beliau berkata pembangunan Teknopolis Kesihatan UKM mengambil kira prinsip-prinsip utama yang meningkatkan keupayaan sebenar dan meransang pertumbuhan ekonomi.

“Ini termasuk mewujudkan ketumpatan dalam meningkatkan kecekapan, pembelajaran dan pembangunan berorientasikan transit dalam meningkatkan mobiliti dan memperkukuhkan kelompok berasaskan pengetahuan bagi memudahkan penggunaan inovasi,” jelasnya.

Selain dari wakil dari MITI, MIDA dan EPU, Prof Datuk Dr Asmah Ismail yang merupakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi turut menghadiri taklimat tersebut.

Semua deligasi turut dibawa melawat Bangunan Institut Perubatan Biologi Molekul (UMBI), Pusat Kejuruteraan Tisu dan Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju (ASSC).ukmnewsportal-bm
2

3