UKM Anjur Majlis Syarahan Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia 2016

dsc_2872-custom

Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Majlis Syarahan Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) 2016 dengan bertajuk Pemanfaatan Media Eletronik Dan Media Cetak Untuk Pengembangan Mesin Penerjemah baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata syarahan itu bertujuan untuk mengembangkan Bahasa Melayu dan Indonesia melalui perbincangan, pertukaran pakar, tokoh pejuang serta pencinta bahasa antara ketiga-tiga negara anggota, bagi memasyarakatkan perkembangan Bahasa Melayu dan Indonesia.

“Bersesuaian dengan usianya 44 tahun, MABBIM telah berjaya membina dan mengembangkan bahasa ketiga-tiga negara anggota ini sebagai bahasa peradaban tinggi, bahasa ilmu seperti bahasa sains, bahasa teknologi moden dan juga bahasa ekonomi.

“Kita ingin mengangkat Bahasa Melayu menjadi satu bahasa ilmu tinggi, bukan sekadar bahasa pasar sahaja,” tambah beliau.

Hadir sama  Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abdul Adzis Abas dan Ketua Program Teknologi Intelligent Computing, Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi Indonesia, Ir Gunarso.

Sementara itu, Ir Gunarso berkata mesin penerjemah adalah penggunaan komputer untuk mengautomatisasikan proses penterjemahan dari satu bahasa ke bahasa yang lain dan penterjemahan itu memerlukan pemahaman yang mendalam dari segi bahasa asal dan teks inputnya.

“Mesin penerjemah ini membantu penyusunan kata-kata yang canggih, puitis dan kreatif sehingga hasil terjemahan mempunyai maksud yang sama dengan perkataan asal dan mudah difahami,” jelas beliau.