UKM Anjur Program Bicara ‘Raya Terkejut: Ikut Rukyah atau Hisab?’

BANGI, 7 Jun 2022 – Program bicara yang bertajuk ‘Raya Terkejut: Ikut Rukyah atau Hisab?’ menghuraikan tentang ketidakpastian orang ramai berkenaan pengisytiharan Hari Raya Aildilftri baru- baru ini.

Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu (PATMA) dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM serta Persatuan Falak Syar’i Malaysia telah menganjurkan Program Bicara Tokoh ATMA untuk siri ke – 11, semalam.

Felo Tamu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Dr. Kassim Bahali berkata, pada tahun 2021 sehingga kini negara telah menggunakan kriteria penetapan tarikh Ramadan dan Syawal yang baharu kerana terdapat kelemahan pada kriteria 1992.

“Kriteria baharu ini menyebut ketinggian hilal daripada ufuk adalah sekurang-kurangnya tiga darjah ketika ghurub matahari dan jarak lengkung matahari serta bulan sekurang-kurangnya 6 perpuluhan empat darjah.

“Kriteria 1992 pula menyebut ketinggian hilal pada dua darjah sahaja dengan tiga darjah jarak lengkung matahari,” katanya.

Menerangkan perbezaan kriteria 1992 dan 2021, beliau turut berkata selama tempoh 30 tahun hanya enam kali sahaja hilal dapat dilihat dalam penentuan awal Ramadan dan Syawal.

“Labuan merupakan tempat pencerapan terbaik untuk melihat hilal kerana kedudukannya di kawasan laut yang lebih terbuka berbanding dengan semenanjung yang berada di Selat Melaka dan bertentangan Sumatera,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kaedah yang digunakan dalam menentukan tarikh awal ramadhan dan syawal di Malaysia adalah di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

“Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab,” tambahnya.

Selain itu, Dr. Kassim Bahali turut menjawab persoalan tentang penggunaan istilah hilal yang dipercayai masih menjadi persoalan.

“Hilal ialah fasa bulan selepas melengkapkan edaran mengelilingi bumi dan merupakan sebahagian kecil dari permukaan bulan yang kelihatan seperti satu lengkuk cahaya yang halus yang lebih dikenali sebagai anak bulan,” jelasnya.

Dr. Kassim Bahali turut menjelaskan bahawa ia merupakan sebahagian daripada sunnah yang diajar dalam agama Islam.

Seterusnya, apabila disoal tentang kronologi sejarah penentuan awal ramadhan dan syawal di Malaysia, beliau menerangkan pada tahun 1970 sebelum merdeka, negara hanya menggunakan kaedah rukyah.

“Sekiranya hilal kelihatan makanya esok adalah Syawal, sekiranya tidak kelihatan maka ia diisytiharkan 30 Ramadan,” katanya.

Beliau turut menerangkan bahawa pada tahun 1970 sehingga 1977, negara telah beralih kepada kaedah hisab sebelum berbalik semula kepada kaedah rukyah pada tahun 1977 sehingga 1982 di bawah penentapan kriteria daripada Resolusi Istanbul (1978) .