UKM Bakal Wujudkan Pusat Penataran Bahasa Melayu

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 17 Mei 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menubuhkan Pusat Penataran Bahasa Melayu bagi memastikan Bahasa Melayu digunakan sebagai Bahasa ilmu di universiti ini.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata Senat telah putuskan untuk menubuhkan pusat tersebut yang akan bertanggungjawab dalam memastikan mandat yang dipikul oleh UKM akan terus diperkukuhkan.

 “Dalam dunia yang semakin mencabar, pusat ini akan bertanggungjawab dalam memastikan UKM terus dapat mengukuhkan bahasa ilmu dan saya berharap pusat ini akan menjadi model kepada universiti lain yang mungkin boleh turut sama menubuhkan pusat penataan bagi memartabatkan Bahasa Melayu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bilik Diskusi Perpustakaan UKM dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini pada 12 Mei lepas.

Beliau berkata penubuhan pusat tersebut tidak akan mengetepikan kepentingan bahasa-bahasa lain di dunia ini.

Menurut beliau UKM mungkin universiti pertama yang akan mempunyai Pusat Penataran Bahasa Melayu dan penubuhannya  adalah satu keputusan penting yang diambil oleh UKM.

“Jika kita tak tubuhkan pusat ini, saya bimbang kemungkinan bahasa kebangsaan kita akan tersisih,” katanya.

Dalam majlis yang sama, UKM telah menandatangani MoU dengan DBP bagi mewujudkan kerjasama melalui penggunaan maklumat antara ahli akademik UKM dengan DBP.

Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas berkata MoU ini bukan hanya menjalin kerjasama tetapi untuk menambahkan lagi pengetahuan dan pengalaman yang ada pada kedua-dua pihak.

“Setakat ini kita masih belum ada kerjasama dengan university lain. UKM adalah university pertama. Kerjasama ini bermula dengan lawatan daripada pihak UKM ke Pusat Dokumentasi Melayu DBP dan dari situ kita mula bincang untuk jalin kerjasama strategik yang memberi kepentingan bersama antara kedua-dua pihak,” jelasnya.

Katanya MoU itu juga merupakan satu komitmen padu UKM dengan DBP untuk bekerjasama merentas pelbagai bidang termasuk pendidikan dan penyelidikan, pembangunan koleksi berkaitan Bahasa dan peradaban Melayu, penerbitan, promosi dan pemasaran produk penerbitan dan kepakaran, latihan dan pertukaran maklumat.

Pada majlis itu juga turut diadakan Pelancaran Pangkalan Data Indeks Dewan Bahasa dan Pustaka (IDBP) dan pelancaran 22 judul buku yang dihasilkan oleh karyawan dan pensyarah UKM yang merupakan terbitan DBP.

Selain itu, Naib Canselor turut merasmikan Bilik Diskusi Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) yang telah dinaik taraf secara berperingkat bermula pada Mac 2015.

Sebanyak 27 bilik diskusi telah dikenal pasti dan dana untuk projek naik taraf tersebut telah disumbangkan oleh 13 individu, lapan kumpulan individu dan empat syarikat.

Salah satu bilik diskusi yang telah dinaik taraf telah dinamakan Ayob Sampul yang merupakan datuk kepada Prof Noor Azlan sebagai mengenang jasa beliau dalam mendidik anak bangsa dan berjasa dalam bidang pendidikan suatu masa dahulu.ukmnewsportal-bm
2

3