UKM Bangunkan 35 Kursus MOOC

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Gambar oleh Ahmad Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Oktober 2016 – UKM telah membangun dan menawarkan 35 kursus Massive Open Online Courses (MOOC) baharu untuk pembelajaran sesi akademik 2016/2017.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Noor Azlan Ghazali berkata jumlah itu adalah sesuatu yang membanggakan kerana UKM telah melebihi sasaran awal yang telah ditetapkan bagi tahun ini iaitu sebanyak 25 kursus MOOC.

“Tahniah kepada Fakulti Pendidikan (FPEND) yang telah menyumbangkan hampir 40 peratus jumlah keseluruhan MOOC UKM pada tahun ini iaitu sebanyak 13 MOOC,” katanya semasa Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan Open Learning Global Sdn Bhd di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan bahawa UKM mendukung usaha negara untuk memanfaatkan teknologi dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan dan memperluaskan akses kepada pendidikan.

“Penawaran kursus secara MOOC ini ternyata mampu memartabatkan UKM di persada antarabangsa.

“Ini terbukti apabila Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran UKM merangkap Ketua Pegawai Maklumat, Prof Dato’ Dr Mohamed Amin Embi telah menerima anugerah 2016 Open Education Awards For Excellence di Poland pada April lalu melalui kategori Industrial Educator Award dan Open MOOC bagi kursus beliau iaitu Rethinking Teaching; Redesigning Learning,” katanya.

Katanya beliau berharap lebih ramai lagi ahli akademik merebut peluang menyebarkan ilmu dan kepakaran seluas mungkin diseluruh dunia dengan menawarkan kursus dalam talian melalui UKM MOOC.

Jumlah pembangunan dan penawaran MOOC mengikut fakulti ialah 13 MOOC bagi FPEND, Fakulti Pengajian Islam enam MOOC, Fakulti Kejuruteraandan Alam Bina, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Pusat Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), masing-masing tiga MOOC.

Manakala Fakulti Undang-Undang dan Pusat Teknologi Maklumat masing-masing dua MOOC, Fakulti Perubatan, Fakulti Ekonomi Pengurusan dan Fakulti Pergigian masing-masing satu MOOC.

Kursus MOOC adalah kerjasama antara UKM dengan Open Learning Global Sdn Bhd yang merupakan pembelajaran dalam talian yang boleh diakses diseluruh dunia.ukmnewsportal-bm

2

3

4