UKM Bantu Bangunkan Terengganu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA TERENGGANU, 29 Disember 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia komited dalam inisiatif untuk meningkatkan pembangunan di negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata terdapat lapan program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh UKM di Terengganu.

“Program-program itu adalah Projek Muzium Maya, Your Language My Culture (YLMC), Pemuliharaan dan Pemasaran Industri Kraf Tembaga, Projek Arkeologi, Projek Penanaman Padi Beras Spesialiti, Program Persatuan Anak Terengganu, Program Sekolah Terengganu serta Konsultasi dan 360 darjah Kampung Angkat UKM yang kita adakan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek 360 darjah Kampung Angkat UKM di Kampung Seberang takir, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan UKM bagi membangunkan beberapa lagi program yang boleh membantu Terengganu membangunkan inovasi-inovasi baru.

“Kita juga bercadang supaya UKM dapat bantu kita membuat kajian berkait dengan masyarakat Terengganu kerana kita juga perlu lihat dan mengetahui apakah sebenarnya keperluan rakyat Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM amat teruja dengan perkongsian yang dibuat oleh Dato’ Seri Ahmad Razif khususnya dalam projek Transformasi Terengganu Baru (TTB).

“Ini adalah salah satu cara untuk memastikan kecemerlangan kesarjanaan UKM dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata projek 360 darjah Kampung Angkat UKM merupakan satu inisiatif universiti untuk mendekati masyarakat melalui perkongsian ilmu dan kepakaran secara berimpak dan lestari.

“Beberapa isu utama telah dikenal pasti untuk manfaat masyarakat di sini yang merangkumi bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan ICT, kesihatan dan prasarana,” katanya.