UKM Berhasrat Menubuhkan Technopolis Kesihatan Dalam Kampusnya

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

UKM To Set Up A Health TechnopolisKUALA LUMPUR, 6 Mac 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mahu menubuhkan ‘Technopolis Kesihatan’ atau Bandar Raya Kesihatan yang pertama di Malaysia dalam kampus perubatan dan kesihatannya di sini bagi membolehkan penyelidikan dan pembangunan perubatan dijalankan dengan pesat melalui kerjasama rapat penyelidiknya dengan sektor korporat.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM kini sedang menggerakkan Fakulti-fakulti Perubatan dan Sains Kesihatannya bagi membolehkan gabungan dan integrasi antara akademik dan penyelidikan, hospital dan pusat perubatan, di dalam kampus untuk menyediakan kesihatan bersepadu.

Beliau telah melancarkan Persidangan Akademik Antarabangsa Otology, Rhinology dan Laryncology (ORL) 2015 ke-9 di sini hari ini. Prof Noor Azlan berkata jumlah besar data dan maklumat yang dihasilkan akan menjadi asas kepada penubuhan technopolis kesihatan UKM itu.

ORL adalah penyelidikan perubatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), dan beliau percaya bahawa data yang dikumpul daripada ENT dapat menjana nilai yang akan menarik industri penjagaan kesihatan untuk menjadi sebahagian daripada technopolis kesihatan itu.

Prof Noor Azlan berkata UKM adalah universiti pertama di Malaysia membangunkan program latihan ENT sendiri dalam negara pada tahun 1984, dikenali sebagai program Sarjana ORL-Kepala dan Tengkuk.

Beliau mengalu-alukan syarikat penjagaan kesihatan dan pengilang mengadakan syarikat usahasama supaya seluruh operasi mereka boleh berpindah ke technopolis kesihatan itu.

Prof Noor Azlan berkata beliau mendapat inspirasi untuk menubuhkan Technopolis kesihatan itu dari beberapa pusat demikian di seluruh dunia, seperti Cochlear Ltd di Australia yang meletakkan keseluruhan operasinya di kampus Universiti Macquarie di Sydney.

Beliau juga telah melawat sebuah technopolis di Ankara, Turki di mana para jurutera dan syarikat bekerjasama untuk mencipta dan menghasilkan produk baru.

Seramai 70 orang penyelidik dan pakar bedah dari dalam dan luar negara – termasuk pakar bedah ENT terkenal – telah mengambil bahagian. Salah seorang daripada mereka adalah pakar bedah ENT tersohor Prof Dr Jan E Veldman, pengasas dan ahli persidangan itu yang ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu di Belanda.

Turut hadir ialah Dr J Jeevanan, bakal presiden Pertubuhan Oto-Rhino-Laryngologi Malaysia, Prof Stephen O’Leary, pengerusi jawatankuasa saintifik antarabangsa dan Prof Dato’ Dr Lokman Saim, pengerusi jawatankuasa persidangan.
ukmnewsportal-bm