UKM, Bernama, MDF dan MyASLI bakal Lahirkan Jurubahasa Isyarat Bertauliah


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 Jun 2022 – Kerjasama yang dijalinkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pendidikan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MDF) dan Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) bakal melahirkan jurubahasa isyarat profesional yang bertauliah.

Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata kerjasama yang dilaksanakan antara universiti dan industri melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu adalah usaha yang dinanti-nantikan oleh komuniti orang kurang upaya (OKU).

“Seperti yang termaktub dalam Pelan Tindakan OKU 2016-2022, Objektif 3 bagi teras 1 iaitu memastikan penyediaan lebih banyak kemudahan sokongan dan bantuan kepada OKU (seperti Jurubahasa Isyarat, audio description dan augmentative alternative communication – AAC) bagi memastikan akses OKU kepada maklumat.

“Jadi, dengan adanya perjanjian persefahaman pada hari ini, ia akan memenuhi dan menjayakan salah satu fokus dalam pelan tindakan OKU ini,” katanya semasa menyapaikan ucapan pada Majlis MoU antara UKM dengan Bernama, MFD dan MyASLI, di sini.

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru agar semua stesen television di Malaysia menyediakan jurubahasa kepada slot berita dan rancangan utama bagi memastikan ia mesra dan inklusif OKU Pendengaran, sekaligus akan menyumbang kepada negara mencapai “Disability Inclusion” dan “Sustainable Development Goals”.

“Penyediaan Jurubahasa Isyarat juga harus dijadikan sebahagian perkara wajib yang perlu dilaksankan oleh semua stesen TV melalui penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata selaras dengan dasar Universiti Inklusif OKU Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), UKM komited untuk memperkukuhkan hak golongan ini dengan aspirasi universiti ke arah mencapai kampus inklusif OKU.

“Saya melihat keperluan perkhidmatan Jurubahasa Isyarat Malaysia untuk golongan pekak semakin hari semakin dititiberatkan oleh semua pihak.

“Walaupun kita melihat keperluan Jurubahasa Isyarat ini menjadi suatu kepentingan kepada golongan kurang pendengan, tetapi seperti mana yang dimaklumkan, individu yang berkemahiran sebagai penterjemah bahasa isyarat tidak ramai di Malaysia.

“Ramai yang berminat untuk mempelajari bahasa isyarat tetapi tidak ramai yang berminat untuk mendalami bahasa ini dan berusaha menjadi penterjemah.  Hal ini kerana, kerjaya dalam bidang ini masih dalam bidang perkhidmatan sosial yang tidak melibatkan sebarang keuntungan,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap pemeteraian MoU tersebut akan dapat meningkatkan lagi peranan Jurubahasa Isyarat dalam menarik minat masyarakat untuk mempelajari bahasa isyarat dan menunjukkan bahawa bahasa isyarat adalah merupakan suatu bahasa yang sama tarafnya dengan bahasa lisan yang lain.

“MoU ini juga disifatkan sebagai laluan kepada graduan UKM khususnya golongan OKU untuk mendapat kerjaya di stesen penyiaran.

“Ini salah satu hsrat UKM sejak jalin hubungan dengan Bernama dan kita harap kerjasama seumpama ini dapat beri peluang kepada graduan UKM dalam bidang bahasa isyarat untuk berkhidmat di agensi nasional,” katanya.

Majlis pemeteraian MoU itu juga turut dihadiri oleh Presiden MDF, Mohd. Sazali Shaari dan Presiden MyASLI, Wan Zuraidah Abu.