UKM Bersama Bangunkan Kereta Elektrik Dengan NTU

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

SINGAPURA, 17 Ogos 2015 – Institut Penyelidikan Tenaga Solar (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bekerjasama membangunkan kenderaan elektrik dengan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura dan Kenderaan Automotif Elektrik Malaysia (EVAM) Sdn Bhd.

Menurut terma-terma Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama tersebut yang   ditandatangani di sini hari ini, UKM, antara lain, akan  membangunkan teknologi bateri dan sistem pengurusan bateri kereta elektrik itu.

Timbalan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar menandatangani untuk UKM manakala Prof. Dr. Subodh Mhaisalkar, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Tenaga (Enrion) NTU mewakili  institusi Singapura tersebut dan Chuah Ban Cheng, Pengarah Eksekutif EVAM mewakili syarikat beliau.

Majlis itu disaksikan oleh Pengarah SERI Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian dan Ketua Pegawai Eksekutif NTU Private Limited Dr Lim Jui.

Selain daripada mencipta bateri di bawah syarat-syarat MoU tersebut, UKM juga akan menyelidik pengurusan terma, keselesaan kenderaan, dinamik kenderaan dan infrastruktur pengecasan.

Ketua penyelidik UKM bagi projek kereta tersebut Dr Halim Hj Razali berkata mereka bercadang untuk menggunakan bateri Lithium Ion yang akan menjadi lebih padat dan lebih ringan.

“Adalah penting untuk memperoleh bateri Li ion yang lebih kecil dan tidak terlalu berat. Pada masa ini, bateri Li ion yang ada merupakan satu pertiga berat kereta dan mengambil ruang yang besar.

“Para penyelidik UKM dari SERI, Fakulti-fakulti Sains dan Teknologi, dan  Kejuruteraan dan Alam Bina sedang mengkaji pelbagai bahan-bahan untuk bateri, seperti minyak sawit, getah dan juga rumpai laut. Tujuannya adalah untuk mengurangkan saiz dan berat dan akhirnya bateri akan kelihatan seperti segumpal plastik kering, tetapi tanpa mengorbankan pengeluaran tenaga,” Dr Halim memberitahu Portal Berita UKM.

Beliau berkata eksperimen yang dilakukan ke atas bateri ion Li menghasilkan jenis yang membolehkan kereta berjalan sejauh 60 km selepas caj 15 minit.

“Kami mahu melanjutkan perjalanan ke 200 km,” katanya.

Beliau menjangkakan bahawa cabaran akan datang ialah mendirikan  stesen mengecas dalam kawasan operasi kereta tersebut.

Selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut, NTU menunjukkan projek semasanya dengan syarikat kereta terkemuka Jerman BMW, sebuah kereta sport yang mempunyai enjin dwi-fungsi elektrik dan petrol.

NTU juga telah bekerjasama membangunkan teksi berkuasa elektrik untuk kawasan tropika, yang dinamakan EVA, dengan Technische Universität München (TUM) Jerman dengan sokongan padu daripada Yayasan Penyelidikan Kebangsaan Singapura.

Rombongan UKM berpeluang menyaksikan kenderaan tersebut yang  mengambil masa dua tahun dan SGD 2 juta (RM 6 juta) untuk menjadi kenyataan, di makmal Universiti Nasional Singapura.ukmnewsportal-bm

6

2

4

5