UKM Bersedia Hadapi 4IR


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

 BANGI, 2 Ogos 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (4IR) bagi memastikan ia tidak ketinggalan jauh dalam industri akademik.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM juga bersedia untuk menyerapkan elemen 4IR ke dalam tujuh Cabaran Perdana iaitu Akal Budi Melayu, Islam Kontemporari, Integrasi Asean, Malaysia Lestari, Malaysia Sihat Sejahtera, Pemerkasaan B40 dan Pengukuhan STEM, iaitu dengan memberi sentuhan moden dan memudahkan lagi generasi muda untuk bersama-sama mencapai potensi tertinggi.

“Forum Ekonomi Dunia telah menunjukkan bahawa dunia hari ini berada diambang 4IR.

“4IR kini merupakan realiti yang diterima di peringkat global yang memberi kesan kepada hampir setiap industri di seluruh dunia dan dengan cepat mengubah bagaimana cara perniagaan beroperasi.

“Jadi, bagi menghadapi revolusi ini, saya berharap bengkel yang diadakan ini akan menjadi pencetus kepada percambahan 4IR di peringkat fakulti dan institut di UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Bengkel Revolusi Industry ke-4@UKM yang bertemakan R&D and Talent Development Challenge in 4IR, baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai sebuah universiti penyelidikan, cabaran penyelidikan yang datang dari bidang baru dan pengembangan bakat adalah amat penting bagi memastikan kesinambungan usaha dalam menguasai 4IR.

“Bengkel ini diharap dapat memberikan UKM the leading edge dalam transformasi ke arah 4IR dan menunjukkan komitmen warga UKM dalam memastikan supaya universiti ini sentiasa terkehadapan dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang,” katanya.