UKM Buka Kampus Cawangan di Qatar


Oleh Asmahanim Amir
Foto UKMShape

BANGI, 1 April 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal membuka cawangan di Doha, Qatar, dengan pengambilan pelajar sulung adalah pada September ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pembukaan cawangan UKM di negara itu akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain dari penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk.

“UKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Sebagai sebuah universiti watan, UKM akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam merentasi sempadan dunia,” katanya.

Beliau berkata pembukaan cawangan UKM di Doha adalah projek kerjasama dengan The Regional Group yang merupakan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan.

“Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha.

The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Manakala  UKM bertanggungjawab menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan,” ujarnya.

Tambah beliau, UKM juga berbangga kerana dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, The Regional Group bersetuju untuk membiaya pembinaan kampus cawangan UKM di Qatar.

Katanya, program offshore dijangka akan mula ditawarkan pada bulan Oktober 2022 dengan kumpulan pertama pelajar akan mengikuti program sarjana muda.

“Antara program yang akan ditawarkan adalah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Maklumat), Sarjana Muda Kejururawatan dan Sarjana Muda Sains (Teknologi Kimia).

“Kita mensasarkan pelajar yang akan mengikuti pengajian di UKM cawangan Doha adalah dari kalangan rakyat Qatar itu sendiri dan juga rakyat negara lain yang bekerja di Qatar dan dari negara-negara Teluk,” katanya.

Selain penawaran program secara offshore, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata, pihak Qatar turut berminat untuk mendapatkan khidmat kepakaran UKM dalam kerja-kerja perundingan dan penyelidikan untuk projek-projek di Qatar.

“Melalui pembukaan UKM cawangan Doha ini,  ia akan dapat meningkatkan penjanaan universiti disamping menyebarluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang lain ke peringkat antarabanga.

“Terima kasih kepada kerajaan Qatar kerana membenarkan UKM membuka cawangan di Doha. Saya percaya dengan kerjasama ini, UKM khususnya Malaysia dan Qatar dapat mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang,” katanya.

Pembukaan cawangan UKM di Doha telah dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan kerjanya di negara itu, baru-baru ini.