UKM dan RCSEd Lancar Strategi Tingkat Kepakaran Pembedahan, Pergigian


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 4 Oktober 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Scotland melancarkan Strategi Antarabangsa dalam menyokong dan meningkatkan kemahiran pakar bedah dan doktor gigi di seluruh dunia.

Strategi tersebut adalah melalui pendidikan, latihan dan peperiksaan, memberi sokongan dalam penyampaian piawaian tertinggi bagi pembedahan dan penjagaan gigi dengan memfokus kepada piawaian dan amalan kesihatan bagi pesakit.

Naib Canselor UKM, Prof Ir DrMohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM sentiasa komited dalam usaha membangunkan masyarakat terpelajar yang dinamik.

“UKM mendapat banyak manfaat menerusi pelbagai program kerjasama yang dilaksanakan dengan RCSEd selepas kolej ini membuka pejabat antarabangsa pertama di sini (UKM) kira-kira setahun lalu.

“Sejak itu, ramai doktor dari dalam dan luar negara yang memperoleh manfaat menerusi program bersama untuk meningkatkan kemahiran dan kecerdasan klinikal,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Strategi Antarabangsa Royal College of Surgeons of Edinburgh Untuk Menyokong Pakar Bedah dan Pergigian Sedunia, di Pusat Kemahiraan Pembedahan Termaju (ASSC), Pusat Perubatan UKM, baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM. Turut hadir sama Tunku Ampuan Besar dari Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi berkata, kerjasama itu adalah sejajar dengan visi Menteri Pendidikan Malaysia untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang terbaik di dunia bagi membolehkan Malaysia bersaing di peringkat gobal.

Pada 2018, UKM bekerjasama dengan RCSEd membuka pejabat antarabangsa di ASSC di Pusat Perubatan UKM. ASSC berbangga dengan pencapaiannya sebagai salah sebuah pusat latihan pembedahan yang komprehensif dan serba lengkap di Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden RCSEd, Pala Rajesh berkata, kekurangan pakar bedah di Malaysia dan peningkatan populasi penduduk tua, ditambah pula trend amalan penjagaan kesihatan yang meningkat menyebabkan bertambahnya permintaan bagi perkhidmatan bedah.

“Negara memerlukan lebih ramai pakar bedah pada masa depan dan mahu menggalakkan doktor muda dan penuntut perubatan melanjutkan kerjaya mereka dalam bidang pembedahan,” katanya.

Berpangkalan di Scotland, dengan keahlian seramai 27,000 orang dari 100 buah negara, RCSEd sentiasa menekankan piawaian tertinggi bagi amalan pembedahan dan pergigian sejak 500 tahun lalu dan mempengaruhi dasar penjagaan kesihatan di United Kingdom.