UKM Dan Sarawak Kerjasama Kaji Peluang Kerja Wanita

100615_MoAMelaka

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

MELAKA, 5 Okt 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kepimpinan Wanita (PKW) Tun Fatimah Hashim akan menjalankan kajian berkenaan dengan Keperluan Modal Insan Wanita untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Kajian itu akan dilakukan apabila UKM melalui PKW menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga pada 29 September.

Menterinya, Datuk Fatimah Abdullah berkata pihaknya telah bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab tentang peluang pekerjaan wanita di Sarawak terutamanya kepada generasi pelapis untuk mendapat peluang pekerjaan.

“Untuk mendapat jawapan tersebut, saya merasakan bahawa perlu diadakan satu kajian. Apakah jenis pekerjaan yang sedia ada untuk keperluan golongan profesional, semi-professional, skill and semi skill.

“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab untuk membolehkan kita terutamanya bagi kerajaan negeri dan kementerian kita (Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga) memberi nasihat kepada anak-anak perempuan kita berkenaan dengan peluang pekerjaan yang ada,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Menandatangani MoA tersebut.

Beliau berkata pihaknya perlu tahu sama ada kemahiran, kelayakan dan kursus-kursus yang diambil oleh anak-anak muda di Institusi Pengajian Tinggi atau kolej-kolej kemahiran mempunyai jurang bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

“Adakah ada jurang seperti kursus yang diambil mempunyai peluang pekerjaan atau sebaliknya atau sikap anak muda itu sendiri yang memilih kerja seperti tidak mahu bekerja di industri yang terpaksa bekerja di tempat yang mempunyai suhu yang panas atau bekerja di lading-ladang?,” beliau bertanya.

Katanya beliau berbangga apabila statistik menunjukkan bahawa kebanyakan universiti merekodkan peratusan yang lebih tinggi bagi kemasukan pelajar wanita berbanding lelaki.

“Tetapi apabila mereka keluar universiti, kita dapati yang banyak menganggur adalah wanita. Kita nak tahu di mana silapnya. So we hope this research could be answered to the employee,” katanya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata PKW mampu membawa dana luar bagi memperluaskan lagi penyelidikan dalam bidang itu.

“Saya berharap PKW akan terus berjaya membawa nama di persada antarabangsa sebagai peneraju dalam bidang kepimpinan wanita dan yang penting ialah sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan wanita yang relevant, respected and referred dalam waktu terdekat.

“Saya yakin Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dan PKW akan mencapai objektif kajian seperti yang dikehendaki dalam MoA,” katanya. ukmnewsportal-bm

100615_MoAMelaka2

100615_MoAMelaka1