UKM di Tangga Ke-7 dalam SUKANUN VE


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Sukan UKM

BANGI, 25 Ogos 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menduduki tangga ketujuh daripada 36 agensi Badan Berkanun yang menyertai Kejohanan Sukan Badan Berkanun Virtual Edition 2021 (SUKANUN VE) yang diadakan dari 19 Ogos hingga 22 Ogos lalu secara dalam talian.

Dalam sukan tersebut, UKM telah menghantar 26 orang atlet, dua pegawai dan empat urusetia bagi menyertai lima daripada tujuh acara yang dipertandingkan.

Muhammad Firdaus yang menyertai acara PES MOBILE telah merangkul pingat perak selepas kalah tipis kepada pemain dari Majlis Perbandaran Klang dengan keputusan 3 berbalas 4.

Kemenangan Muhammad Firdaus itu meletakkan UKM berada di tangga ketiga antara Institusi Pengajian Tinggi yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Majlis Perbandaran Klang telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SUKANUN VE dengan pungutan 2 pingat emas dan 1 gangsa.

Pendaftar UKM, Dr. Ina Md Yasin mengucapkan tahniah atas kejayaan yang dipamerkan oleh atlet UKM.

“Menang atau kalah adalah adat permainan. Apa yang lebih penting ialah semangat kesukanan dan semangat juang yang dizahirkan oleh saudara saudari.

“Insya Allah kita akan teruskan usaha dan perjuangan pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.