UKM ditangga Ke-35 Asia

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 26 November 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar kejayaan membanggakan apabila tersenarai di kedudukan ke-35 dalam penarafan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS): Asia 2021, iaitu kenaikan empat anak tangga berbanding penilaian tahun lepas.

Sejak tahun 2016, kedudukan UKM telah meningkat sebanyak 20 anak tangga dan dalam tempoh itu juga, UKM telah mencatatkan peningkatan untuk tempoh empat tahun berturut-turut. Keputusan itu telah meletakkan UKM berada dalam kalangan 6 peratus (%) teratas Ranking Universiti Dunia QS: Asia.

Sebanyak 11 indikator yang dinilai iaitu Academic Reputation, Employer Reputation, Faculty Student, Staff with PhD, Citations per Paper, Papers per Faculty, International Research Network, International Faculty, International Students, Inbound Exchange Students, dan Outbound Exchange Students.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh QS, daripada 11 indikator tersebut, indikator International Research Network adalah yang paling tinggi dicatatkan oleh UKM iaitu sebanyak 99.3, diikuti oleh Faculty Student (98.8) dan International Students (85.5).

Dengan pencapaian itu, UKM telah mencatatkan skor keseluruhan sebanyak 74.4.

Sementara itu, menurut kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, kejayaan universiti di Malaysia dalam Ranking Universiti Dunia QS: Asia 2021 merupakan kejayaan terbaik negara dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di landasan yang betul.

“Tahun 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

“Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi di rantau Asia dan juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” katanya.

Dalam laporan Qs juga dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik dalam penarafan kali ini.  Sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi dalam kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia.