UKM-DNV GL Malaysia Terokai Bidang Minyak dan Gas Dalam Pembinaan Makmal Kualiti


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Jan 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan DNV GL Malaysia Sdn Bhd dalam rangka menguruskan penyelidikan dan pembangunan bidang berkaitan minyak dan gas dengan menubuhkan sebuah makmal penyelidikan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah bekata kerjasama di antara kedua-dua pihak dialu-alukan serta dipelbagaikan dalam pelbagai bidang seperti pengkomersialan pembangunan bahan dan teknologi terkini dan prospek industri akademik dan saintifik.

“Saya yakin kepakaran yang ada boleh memberikan hasil yang baik dalam menerokai sektor industri minyak dan gas ke arah yang lebih kompetetif dan berdaya saing,” katanya semasa menaympaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan DNV GL Malaysia Sdn Bhd, baru-baru ini.

UKM diwakili oleh Prof Dato’ Dr Imran Ho manakala DNV diwakili oleh Pengurus Residennya untuk Asia Tenggara dan Australia, Brice le Gallo dan disaksikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof Dr Mohammad Kassim dan Pengarah Urusan Minyak dan Gas, DNV, Hernando Caceres.

Sementara itu, Brice dalam ucapannya berkata, kerjasama itu sangat baik jika dinilai dari segi kepakaran masing-masing yang boleh dibentuk dalam satu pasukan.

Katanya, beliau yakin kerjasama luas dalam pelbagai bidang boleh dilakukan secara berperingkat dengan melibatkan pasukan penyelidik dan membangunkannya secara efektif.

“Apa yang penting ialah matlamat kita untuk maju ke hadapan dengan kekuatan kedua-dua pihak yang tidak diragukan dan sentiasa berpegang kepada perjanjian bersama yang memberikan manfaat kepada syarikat dan UKM,” jelas beliau.

Perjanjian selama 3 tahun itu menumpukan dalam pelbagai bidang seperti pengkomersilan bahan dan teknologi, menguruskan makmal dan keupayaan membangunkan bahan dan makmal secara aplikasi.