UKM FC Lancar Jersi dan Perkenal Pemain Baharu untuk Musim 2020


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 26 Februari 2020 – Pasukan Bola Sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) melancarkan jersi baharu bagi musim 2020 sekaligus memperkenalkan pemain bagi pasukan tersebut.

Jersi baharu UKM FC musim ini didatangkan dengan tiga rekaan iaitu merah untuk pemain utama dan hijau bagi penjaga gol apabila menjadi tuan rumah (home) dan jersi di tempat lawan (away) berwarna biru (pemain utama) dan penjaga gol berwarna kuning manakala jersi alternatif (kit) bewarna hitam (pemain utama) dan penjaga gol bewarna oren.

Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berharap pasukan UKM FC terus berjaya dan kekal menjadi lima pasukan teratas dalam Liga Perdana serta menjadi sebuah pasukan yang lebih berdikari dalam konteks kewangan.

Beliau berkata, matlamat UKM menghantar pasukan bola sepak ke Liga Perdana ialah untuk mengetengahkan sebuah pasukan bola sepak yang berasaskan kepada pelajar-pelajar supaya dapat melahirkan atlit yang berpendidikan tinggi.

“UKM juga ingin melahirkan 100 peratus pemain daripada kalangan pelajar sendiri, namun untuk menjadi sebuah pasukan yang kompetetif dan mampan, UKM FC masih memerlukan pemain-pemain profesional termasuklah pemain import untuk bersaing dalam liga yang kompetetif ini,” katanya di Dataran Pusanika, Bangi.

Seramai 28 pemain UKM FC telah diperkenalkan pada majlis itu dan empat daripada mereka merupakan pemain import iaitu dua dari Sweden, masing-masing satu dari Perancis dan Korea.

UKM FC musim lalu menduduki tangga ke-8 dalam pasukan Liga Perdana  dan dengan adanya pemain import, ia mampu menguatkan pasukan untuk memulakan kempen perlawanan pertama pada 29 Februari ini menentang pasukan Sarawak.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim, Mantan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dan Pengurusan UKM FC.

UKM FC telah menerima tajaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), NLFC- MAHSA, Kiffah Group of Company, Syarikat Line 7 dan tajaan peribadi  daripada Prof. Dr. Kamarulzaman Kamaruddin bernilai RM25,000.