UKM-GSB Dan Universiti Tsinghua, China Tingkatkan Hubungan Dua Hala

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 Feb, 2016 – Empat pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Kebangsaan Malaysia dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) telah terpilih mengikuti Tsinghua MBA Summer Exchange Programme atau Program Pertukaran Musim Panas MBA tahun 2014 dan 2015 di Tsinghua University School of Business and Management (SEM), Beijing, China.

Program yang dilangsungkan pada bulan Mei tahun-tahun tersebut diadakan selama 11 hari, telah memberi manfaat yang amat baik kepada kedua-dua universiti dan pelajar yang terpilih telah membentangkan dan berkongsi pengalaman sepanjang berada di SEM.

Jadi pada tahun ini, rombongan dari SEM yang terdiri daripada 25 pelajar dan tiga pegawai pengiring termasuk seorang Profesor, melawat UKM-GSB pada bulan Januari lalu bagi mendapatkan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan Malaysia dan SEM dan mendalami tentang perbankan dan kewangan Islam serta corak perniagaan keluarga Cina Malaysia.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata kehadiran SEM ke UKM adalah sangat istimewa terutamanya dari segi interaksi antarabangsa antara kedua-dua universiti.

“Kita juga dapat berkongsi dan mendengar pengalaman bagi kedua-dua university dalam meningkatkan hubungan dua hala,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

Beliau berkata bagi Malaysia, ekonomi China merupakan salah satu ekonomi yang paling penting.

“Saya perlu kongsikan, ia (ekonomi) kerana saya juga merupakan seorang ahli ekonomi dan banyak perkara yang perlu dibincangkan tentang keadaan ekonomi, kemajuan dan cabaran ekonomi di China. Kita mahu berikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata empat tahun lalu UKM telah melakukan program kerjasama melalui hubungan strategik yang melibatkan tiga buah universiti iaitu UKM, Tsinghua University dan Jindal University.

“Apa yang telah kita lakukan adalah menganjurkan program rundingan antarabangsa. Kita mengadakan program itu di tiga sektor iaitu di UKM, di Tsinghua University dan di Jindal University dan bergerak melalui beberapa fakulti.

“Melalui rundingan itu, kita mula mengenali universiti-universiti ini dengan lebih dekat dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang terus mengadakan kunjungan ke UKM terutamanya Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, kunjungan tersebut adalah sangat istimewa kerana kedua-dua universiti dapat meneruskan hubungan antarabangsa dan berkongsi idea untuk kepentingan bersama.ukmnewsportal-bm
02

03

04